Kunyit punyai pelbagai khasiat: Pakar

JOHOR BAHRU. 21-6-2000, Rabu - Kajian pakar pemakanan menunjukkan kunyit hidup atau nama saintifiknya Curcama Domestia/CLonga mempunyai pelbagai khasiat dan tidak mendatangkan mudarat walaupun di makan berlebihan.
    Pensyarah Jabatan Sains Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Suhaila Mohamad, berkata antara kelebihan kunyit hidup ialah menurunkan kadar kolesterol dan lemak dalam badan, membantu pemulihan kecederaan dan meningkat daya ketahanan serta prestasi bekerja.
    Beliau berkata, satu kajian oleh pakar pemakanan luar negara ke atas tikus bunting yang diberi makan kunyit sebanyak dua gram bagi setiap dua kilogram berat badan, menunjukkan tikus itu tidak mengalami masalah keracunan.

    Katanya, kajian di India menunjukkan, kunyit dapat membantu perokok mengurangkan bahan penggalak barah (carcinogen) yang terdapat dalam air kencingnya.
    Menurutnya, kunyit dikatogerikan sebagai tumbuhan herba spesies Zingiberacae sama seperti halia dan temu lawak.
    "Kunyit memepunyai kesan anti-oksidan yang kuat dan boleh melambatkan penyakit tua seperti barah dan darah tinggi serta mengadungi bahan dikenali ergo genics, yang dapat membantu meningkatkan prestasi dan ketahanan di bahagian hati manusia.
    "Setakat ini, penyelidikan yang dilakukan pakar pemakanan tiada menunjukkan kunyit ada memberi masalah dan keracunan kepada pemakanya," katanya ketika dihubungi di pejabatnya di Serdang, Selangor hari ini.
    Dr. Suhaila mengulas laporan Berita Harian hari ini mengenai seorang kanak-kanak, Mohammad Ariff, 4, dari Bnadar Tenggara, dekat sini yang gemar memakan kunyit hidup sebagai makanan tambahannya.
    Mohammad Ariff yang mempunyai ketinggian 0.8 meter dan berat 12 kilogram, mula memakan kunyit hidup sejak berusia setahun dan boleh menghabiskan kunyit hidup sekilogram seminggu.
    Sehubung dengan itu, Dr. Suhaila berhasrat untuk menemui keluarga dan kanak-kanak itu bagi membantunya menjalankan penyelidikan klinikal mengenai keberkesanan dan khasiat kunyit.