Make your own free website on Tripod.com

Minda

    Otak manusia ialah satu organ yang sangat istimewa jika dibandingkan dengan organ-organ lain dalam badan kerana ia mengawal hampir semua aktiviti yang dilakukan oleh manusia. Peranan otak bukan sahaja terhad kepada pengawalan aktiviti-aktiviti badan seperti tindakan terkawal atau tindakan luar kawal tetapi ia juga membolehkan manusia berfikir dan menaakul. Keupayaan untuk berfikir dan menaakul di panggil minda. Kita harus menyedari bahawa manusia sahaja yang dikurniakan minda. Oleh itu, kita harus menggunakannya dengan baik supaya kita menjadi individu yang waras dan bermoral.

    Minda manusia perlu dipupuk dengan nilai murni dan sikap yang baik sejak kecil lagi dan bertrusan sepanjang hayatnya. Pendidikan dan pengalaman harian boleh mempengaruhi minda seseorang. Pendidikan merupakan satu usaha untuk melahirkan   individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dengan pendidikan yang baik, seseorang individu tidak mudah dipengaruhi oleh sikap yang kurang baik dan tambahan pula dia dapat menyerap sikap positif daripada pengalaman hariannya. Pendidikan bertujuan melatih seseorang  cara berfikir, menganalisa, menaakul dan mengkritik secara membina serta menambahkan pengetahuan. Dengan ini, diharapkan manusia dapat menyelesaikan masalah harian secara lojik dan rasional.

    Didikan agama dan pendidikan moral boleh melahirkan seorang individu yang mempunyai nilai-nilai murni serta kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Individu dengan kepercayaan yang kuat kepada Tuhan, tidak akan dipengaruhi oleh budaya asing yang kurang baik dan pengalahgunaan dadah.

     Seseorang yang mempunyai minda yang baik akan mempamerkan sikap yang baik seperti bertanggungjawab, kasih sayang, berdikari, tabah, bersikap positif dan pemikiran yang rasional. Di negara kita yang berbilang kaum, semangat muhibah perlu dipupuk sejak kecil lagi supaya rakyat bersatu padu dan hidup dalam harmonis.