Make your own free website on Tripod.com

Majlis Kesihatan Mental Malaysia (MHM)

Talian Bantuan: Untuk maklumat lanjut dan bantuan, sila e-mail kepada: mhm@quantumcomp.com

 

MASALAH TIDUR

 

PENGENALAN

Tidur adalah normal, sesuatu yang biasa. Ia adalah satu tempoh untuk individu merehatkan dan memulihkan badan dan mindanya. Lebih kurang 10% hingga 20% populasi mengalami insomnia. Kebanyakan orang dewasa memerlukan 7 hingga 8 jam tidur setiap malam. Keperluan ini berbeza daripada individu kepada individu lain. Ada individu yang mampu berfungsi dengan baik hanya dengan 4 jam tidur. kanak-kanak memerlukan masa tidur yang lebih daripada orang tua.

APA BERLAKU JIKA SAYA TIDAK TIDUR?

Ingatlah bahawa belum ada orang yang mati kerana kurang tidur. Tidak dapat tidur malam sekali sekala tidak akan menjejaskan sangat kesihatan fizikal atau mental. Pekerja-pekerja waktu malam akan mengalami gangguan tidur semalam-dua selepas bertukar masa kerja. Pengembara jarak jauh yang menyeberangi kawasan masa akan mengalami "jet lag" iaitu terbangun ditengah malam atau merasa mengantuk diwaktu siang. Jika individu tidak tidur beberapa malam, beliau akan merasa sukar untuk membuat keputusan dan perasaan ('mood') akan terjejas. Perkara ini boleh mendatangkan bahaya kepada individu yang mengendalikan mesin-mesin berat atau memandu.

MASALAH TIDUR DALAM KEHIDUPAN ORANG DEWASA

Kekurangan tidur kerana masalah-masalah kecil boleh diatasi tanpa berjumpa doktor - Amalkanlah cara tidur yang sihat.

AMALAN TIDUR YANG SIHAT

Jika anda bermasalah untuk tidur, disini ada beberapa panduan yang boleh menolong anda tidur dengan baik :

  • Cuba biasakan diri masuk tidur pada masa yang sama dan bangun pada masa yang sama.
  • Pastikan tempat tidur dan biliknya selesa - tidak terlalu panas dan tidak terlalu bising.
  • Sebelum tidur lakukan senaman ringan tanpa membebankan badan anda.
  • Cuba relaks sebelum tidur misalnya membaca atau mendengar musik ringan.
  • Jika ada sesuatu yang tidak boleh diselesaikan, cuba tuliskannya sebelum masuk tidur dan beritahu diri anda ia akan diselesaikan pada esok harinya.
  • Jika tidak dapat tidur, jangan berbaring dan merisauinya. Bangun dan buat sesuatu yang boleh memberi ketenang seperti membaca, menonton TV atau mendengar musik.

Jika anda tidak dapat tidur semalaman, jangan cuba tidur pada keesokkan harinya - ia akan menyukarkan anda tidur pada malam berikutnya. Jika anda terlalu letih masuklah tidur lebih awal pada malam berikutnya.

Perkara-perkara yang berikut perlu dihindari :

  • Minum teh, kopi dan minuman ber 'cola'. Susu suam boleh membantu.
  • Minum alkohol dengan banyaknya, membuatkan anda rasa hendak tidur tetapi ia kemudian akan pasti membuatkan anda berjaga sepanjang malam.
  • Makan atau minum banyak ke larut malam.
  • Selalu guna pil tidur - ia digunakan untuk sementara waktu sahaja dibawah arahan doktor.

BILA ANDA MEMERLUKAN BANTUAN?

Jika insomnia berterusan, ia boleh jadi berpunca daripada masalah emosi, kesukaran dalam kehidupan seharian atau kadang-kadang masalah psikologi yang lebih serius. Kebimbangan yang lebih boleh menyukarkan individu untuk tidur. Dalam kemurungan yang teruk, individu mungkin terbangun awal atau ditengah malam dan tidak boleh tidur semula. Jika keadaan fizikal, seperti arthritis (sakit sendi) dan masalah pernafasan, menjadi punca insomnia, maka rawatan kepada penyakit ini seharusnya boleh mengurangi masalah tidur. Dapatkan nasihat doktor jika insomnia masih terus berlaku sekalipun anda mengamalkan tidur yang sihat.

PENGUBATAN

Pil tidur atau hipnotik selalunya diperskripsikan bagi masalah tidur. Walaupun pil ini boleh membuat anda tidur dengan baik, penggunaan jangka panjang akan membuat kesannya berkurangan dan ketagihan. Berhenti dengan tiba-tiba penggunaannya akan menyebabkan insomnia berlaku semula disamping mimpi-mimpi buruk. Dengan itu, individu digalakkan mengurangi dos pil itu secara perlahan-lahan dibawah penyeliaan doktor.

KESIMPULAN

Insomnia boleh dikatakan sebagai satu masalah biasa. Puncanya pelbagai, kebimbangan, keresahan dan tekanan mental adalah diantara puncanya. Untuk mengatasi insomnia puncanya perlu dicari dan diatasi. Biasanya masalah ini boleh diatasi dengan mengamalkan tabiah tidur dengan baik, kaunselling dan mengelakkan penggunaan hipnotik atau alkohol secara berterusan untuk memudahkan tidur.