Mempertikai Gejala Derma Untuk Masjid
Oleh Zukri Valenteno

Saya merasa sedih kerana segelintir rakyat kita secara tidak sedar sedang menyumbang untuk tujuan yang kononnya sebagai membina masjid di serata tanah air saban hari.
Pemungut derma ini akan melawati rumah-rumah kediaman, stesen bas, tempat kunjungan ramai, restoran gerai warung, malahan pejabat kita untuk memenohi kantong mereka - semuanya atas sebab membina rumah Allah.
Berbekalkan sepucuk "surat niat" (yang biasanya diwarnakan) dan sekeping gambar masjid yang kelihatan sedang dalam pembinaan, mereka yang tidak merasa apa-apa meminta sumbangan terus daripada penderma.
Mengambil peluang di atas kemurahan hati rakyat Malysia, khususnya kita kaum Melayu yang beragama Islam, misi mereka ternyata berjaya. Pada hujung minggu yang lepas, saya berkesempatan menyaksikan perkara ini berlaku di tiga buah restoran dan satu lagi di hadapan rumah saya di Taman Sri Gombak.
Kesemua mereka memberi salam menghulurkan surat, gambar dan senarai kutipan siap dengan tandatangan penderma untuk tujuan itu. Dan, kemudiannya mereka menunggu derma kerana yang dijangka akan tiba jua!
Mereka nampaknya amat yakin dengan sumbangan orang ramai kerana selepas sahaja menghulur sekeping surat niat itu dan gambar masjidnya, mereka bersedia untuk menerima sumbangan. Mungkin selama ini tiada masalah dihadapi ekoran kemurahan hati rakyat kita.
Yang peliknya semua penderma, saya lihat, tidak pula bertanya apa-apa soalan daripada pemungut derma itu, lantas terus ke saku dan mengeluarkan wang untuk berderma tanpa banyak soal.
Apabila sampai ke meja saya, saya bertanyakan mengapa derma perlu dikutip sedangkan membina masjid adalah tanggungjawab kerajaan yang memerintah.

Pembinaan

Jawabnya "saya tak tahu bang, saya hanya mengutip derma. Kalau abang nak tahu lebih lanjut semuanya ada di sini (di sekeping surat niat dan gambar apa yang kelihatan seperti masjid yang sedang dalam pembinaan)".
Apabila saya meminta surat tauliah atau surat kebenaran, jawabnya ialah "untuk kerja Allah, kita tidak perlu surat daripada sesiapa, memadai kalau niat kita ikhlas dan Allah tahu dan nampak apa yang kita buat!"
Saya katakan kepadanya bahawa saya tidak boleh menderma walaupun mungkin benar derma berkenaan untuk pembinaan masjid kerana saya katakan kepadanya, dengan derma saya, sayakan akan galakkan pertumbuhan apa yang disifatkan sebagai tempat ibadat (kalau benarlah tujuannya sedemikian) yang tidak dapat pengiktirafan pihak berkuasa agama di negara ini.
Jawabnya ialah "tak mengapa, kalau abang tak mahu bagi, ramai lagi yang sudi dan mereka akan mendapat pahala kerana berbuat demikian." Saya menambah bagaimana saya hendak tahu kalau derma saya benar-benar sampai kepada sasaran.
Jawab orang itu ialah "tak perlu risau kerana niat kami (para pemungut derma) ikhlas dan jelas dan Allah nampak apa yang kami buat".
Beberapa saat berikutnya, pemungut itu pergi ke meja lain untuk mengulangi perbuatannya dan mereka yang berada di meja berhenti menjamu selera dan kelihatan tidak mempunyai masalah untuk menderma. Rakyat Malaysilah katakan.
Saya dapati (kalaulah kutipan derma itu palsu) kaum Melayu di negara ini memang mudah diterpedaya, apatah lagi apabila orang yang bertudung atau berketayap (berkopiah putih) datang memungut derma di hadapan kita.
Saya dapati memang mudah untuk melemahkan perasaan kita apabila perkataan rumah Allah, ibadat, fardu kifayah, rumah anak yatim dan pelbagai lagi justifikasi diutarakan untuk menghalalkan tindakan mereka dan untuk mendapat simpati.
Dan kita kaum Melayu memang mudah percaya dengan para pemungut ini tanpa sebarang rasa curiga dan syak wasangka, tidak kiralah kalau sipemungut itu tidak bagitu fasih berbahas Melayu atau rupa parasnya tidak lansung membayangkan bahawa mereka itu rakyat negara ini. Cukup dengan perkataan-perkataan yang saya katakan tadi yang dimulai dengan salam (yang kadangkalanya tidak lancar), duit pun bertukar tangan.

Pungutan

Dan yang menjadi pelik kepada saya ialah saban hari atau saban kali, pungutan derma ini hanyalah untuk membina masjid di negeri-negeri seperti Kedah, Perlis dan Kelantan dan tidak di negeri-negeri lain?
Apakah keperluan itu di negeri-negeri lain ataupun fenomena ini hanya sinonim dengan negeri-negeri yang dinyatakan itu?
Setahu saya pembinaan masjid, surau dan madrasah serta tadika Islam adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri atau pun sudah ada perkembangan terbaharu (di negeri-negeri berkenaan) ataupun perubahan dasar kerajaan-kerajaan negeri itu yang memaksa pembinaan rumah ibadat agama Islam kita kini dibebankan kepada individu dan tidak lagi kerajaan?
Kadangkala kita juga berdepan dengan "keperluan" untuk membina masjid, surau atau madrasah di kawasan-kawasan selatan Thai, selatan Filipina dan India mahupun Pakistan. Kutipan untuk yang dukatakan masjid-masjid di luar negara ini sering kali dilakukan dengan meletak tabung kutipan di kaunter bayaran restoran India Muslim dan kedai runcit India Muslim. Biasnya para pelanggan akan memasukkan duit siling ataupun duit kertas selepas melunaskan bayaran kepada perkhidmatan yang disediakan.
Apakah ini benar atau (barang dijauhi Allah s.w.t.) ini hanya taktik tertentu mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mencari rezeki secara memainkan sentimen keagamaan dikalangan kita?
Saya sering kali bertanya andaikata tanggungjawab membina rumah ibadat adalah dalam bidang kuasa kerajaan mengapa perlu individu atau persatuan-persatuan tertentu pula hendak membina masjid, surau atau madrasah secara bersendirian jika tujuannya tidak lain adalah untuk "memiliki"nya secara persendirian, lantasnya tidak akan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama Islam di negara ini.