Kita dan Al-Quran
oleh
Haizam

Al-Quran merupakan kitab petunjuk bagi setiap insan yang bertaqwa, disamping itu, ianya juga merupakan sumber rujukan terhadap pembentukan tamadun dan kehidupan ini, baik di dunia dan insyallah di akhirat. Kewujudannya bermula sejak zaman baginda Rasul saw dahulu. Semoga sumber ini terus dijadikan punca rujukan ilmu pengetahuan oleh kita bagi menangani kehidupan kini, yang sebahagian besarnya melibatkan:

i.) Pandangan terhadap insan, termasuk kehidupan, kewujudan, fitrah kemanusian, sosial dalam isu-isu yang berhubungkait bagi individu, keluaraga serta masyarakat dan juga interaksi sosial yang meliputi sistem-sistemnya.
ii.) Pemahaman yang menjurus ke arah mendaulatkan Sunnah dan mengikut Sirah para ambia bagi membina budaya dan tamadun Islam kini.
iii.) Menguasai warisan Islam dengan fahaman yang positif, mendapat iktibar serta pelajaran daripada persoalan-persoalannya dan berwaspada dengan sifat-sifat negatif.
iv.) Menghadapi pemikiran Barat serta punyai kaedah bagi memilih yang baik, berwaspada terhadap keseluruhan idea, berupaya membuang sifat-sifat negatifnya dan disusun agar sejajar dengan pemikiran Islam.

Sejauh mana kita mengkaji dan menggali terhadap isi Al-quran ini?
Adakah ianya dijadikan bahan rujukan setiap masa di dalam kehidupan kita?
Masih ramai lagi antara kita yang berfikiran terbelenggu, bahawa Al-Quran hanya merupakan suatu yang bahan mulia untuk disimpan dan terpelihara, keterampilannya hanya tertumpu pada keadaan-keadaan ibadat (seperti kematian, bacaan terhadap orang-orang sakit tenat dan lain-lain). Pembelajaran hanya tertumpu pada hukum-hukum tajwid dan makhraj-makhraj huruf semata-mata, seolah-olah pembelajaran hanya untuk belajar membaca, bukan pembelajaran untuk meningkat kefahaman kehidupan. Kita mengharapkan pemikiran ini perlu dikaji semula.

Kita sedia maklum bahawa kajian dan ciptaan-ciptaan baru berperanan bagi membentuk ketemadunan insan sejagat. Umpamanya hasil ciptaan alat komunikasi, automobil dan lain-lain, digunakan secara menyeluruh oleh masyarakat. Islam menggalakkan umatnya membuat kebajikan, seperti kebajikan yang berbentuk hasil tulisan atau ciptaan yang dapat dimanafaati ramai. Cuma persoalannya sejauh mana kita benar-benar telibat dalam urusan kajian dan ciptaan ini?
Malah berlaku pula apabila dikemukan hasil kajiaan/ciptaan orang yang bukan Islam, ada yang membabit dada dengan megah menyatakan bahawa pertemuan tersebut telah pun disebut di dalam Al-Quran, sebelum pencipta menemuinya. Sepatutnya ciptaan tersebut beserta dengan kajian Al-Quran, kitalah yang mendahului mereka terhadap penemuannya.
Kita khuatir tujuan asal Al-Quran sebagai rujukan disalah ertikan, ianya patut dijadikan pencetus terhadap kajian (sains atau sebagainya) bagi membentuk temadun kehidupan, ditukar menjadi kebanggaan dan membiarkan diri dalam kemunduran dan berfikiran rendah.

Sudah sampai masanya bahawa Al-Quran disamping dipelajari cara bacaannya ianya juga perlu dijadikan bahan rujukan dan kajian setiap masa bagi insan untuk meningkatkan temadun kehidupan di dunia dan insyallah di akhirat.