Pastikan K-ekonomi mesra Melayu
Oleh Khairudin Mohd. Zain

K-Ekonomi bukan realiti yang baru. Selamanya dan semenjak dahulu lagi ilmu telah menjadi asas kepada penguasaan ekonomi. K- ekonomi adalah kaedah baru yang perlu diguna pakai bagi memastikan kejayaan perniagaan dalam ekonomi serba terbuka pada zaman globalisasi ini.
Malaysia menerima globalisasi dengan langkah yang sangat proaktif. Kerajaan tidak melonjak secara terburu-buru untuk memperkenalka K-ekonomi kepada rakyat terbanyak. Sebelum mengenali K-ekonomi, rakyat telah lamam terdedah dengan kemampuan sain dan teknologi (S&T). Industri automotif umpamanya telah menjadi asas keoada pelaksanaan K-ekonomi.
Keperluan untuk mendalami teknologi yang berasas komputer telah mula didedahkan kepada rakyat. Kepentingan melakukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (P&P) telah juga dipertontonkan, apabila model baru diperkenalkan dalam masa yang singkat. Penggunaan komputer dan kepentingan budaya P&P adalah dua asas utama ekonomi berteraskan pengetahuan.
Tidak siapa dapat menolak hakikat pengelibatan pekerja mahir dan separuh mahir kaum Melayu dalam membangunkan industri automobil. Ribuan anak kaum Melayu telah membuktikan bahawa mereka mampu mendalami prinsip asas K-ekonomi dalam masa yang singkat. Pemindahan teknologi daripada negara maju berlaku seperti yang dicita-citakan.

Pengukuhan
Asas ini telah dijadikan sebagai batu loncatan untuk menjadikan K-ekonomi sebagai agenda negara. Bagimanapun, asas yang ada memerlukan proses pengukuhan bagi mempersiapkan kaum Melayu menghadapi persaingan dalam dunia terbuka. K-ekonomi bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan komputer semata-mata, tetapi juga minda kreatif dan inovatif untuk menjadi pencipta berbanding pengguna semata-mata.
Tidak ada jalan singkat untuk mempersiapkan sebuah generasi yang mempunyai ilmu dan daya saing selain daripada memantapkan tahap pendidikan mereka. Usaha ini perlu dimulakan daripada peringkat yang paling bawah agar pendedahan kepada ilmu asa bagi menghadapi K-ekonomi diperolehi lebeh awal.
Langkah Kemeterian Pendidikan memperkenalkan subjek Sains pada tahap satu pengajian sekolah rendah seharusnya dipuji. Ini benar-benar selari dengan cita-cita negara melahirkan generasi yang mempunyai asas sain dan teknologi yang kukuh.
Apatah lagi melihat kepada perkembangan sains dan teknologi yang begitu pantas berlaku. Pemetaan genome dikatakan akan memberikan ruang kepada kenbangkitan revolusi bioteknologi dalam masa yang terdekat. Baru sahaja kita membina MSC yang berdasarkan Lembah Silikon di Amerika; ada keperluan pula buat Malaysia membina Lembah Biotek dalam beberapa tahun mendatang.
Apakah kedudukan kaum Melayu dalam segala perkembangan ini? Di sinilah pendidikan memainkan peranan penting. Kelemahan pelajar kaum Melayu peringkat rendah dan menengah dalam subjek-subjek utama dan asas kepada K-ekonomi mesti diberikan perhatian.
Subjek-subjek seperti Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik adalah antara yang perlu diberikan keutamaan.
Kelemahan pelajar Kaum Melayu dalam subjek-subjek teras kepada agenda K-ekonomi boleh dilihat dengan jelas jika merujuk kepada keputusan peperiksaan peringkat rendah dan menengah.
Keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendak (UPSR) tahun 2000 umpamanya menunjukkan bahawa pencapaian pelajar-pelajar di sekolah-sekolah rendak kebangsaan dalam subjek Bahasa Inggeris dan Matematik turun sedikit daripada tahun sebelumnya.
Pencapaian Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dalam dua subjek tersebut jelas lebeh baik.
Pencapaian yang kurang baik pada peringkat asas ini memungkinkan sindrom yang sama berlaku di peringkat menengah. Prestasi pelajar bumiputra dan bukan bumiputra dalam bidang Matematik dan Sains di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia mampu menunjukkan pemasalahan ini.

Bersaing
Jika sesuatu tidak dilakukan, kaum Melayu akan menghadapi kesukaran bersaing dalam situasi K-ekonomi yang sebenar. Tranformasi dasar pendidikan ke arah S&T mesti di mulakan dengan pemantapan subjek utama dinyatakan. Dalam masa yang sama, kuantiti dan kualiti guru Bahasa Inggeris mesti diberi perhatian.
Situasi di institusi-institusi pengajian tinggi juga memerlukan perhatian serius. Usaha untuk mencapai kegagalan sifar pelajar bumiputra mesti diusahakan secara serius. Banyak pertolongan yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu pelajar bumiputra di universiti tetapi masih lagi mereka tertinggal di belakang. Tidak keterlaluan jika kita menyatakan, kebanyakan mahasiswa kaum Melayu gagal meletakkan prioriti kecermelangan mengatasi unsur lain.
Berapa ramai pelajar kaum Melayu tajaan mana-mana agensi yang dapat mencapai keputusan cemerlang, seterusnya menerima tajaan penuh berbandingan pinjaman?
Agenda K-ekonomi tidak sewajarnya meminggirkan pelajar aliran sastera, sebaliknya mereka perlu diberikan pengupayaan dengan cara yang lain.
Subjek-subjek seperti Statistik, Pengurusan Organisasi, Pemikiran Lateral, Pembangunan Perisian, Pembangunan Laman Web dan sebagainya wajar ditawarkan sebagai sebahagian daripada kursus yang perlu ditamatkan oleh pelajar aliran sastera. Ini membolehkan mereka mempunyai nilai pasaran yang lebih baik, beserta dengan kemahiran yang lebih mencapah.
Usahawan kecil dan sederhana bumiputra perlu juga memperteguhkan daya tahan untuk menghadapi cabaran K-ekonomi. Keupayaan untuk melakukan pembanguanan dan penyelidikan kepada sebarang produk, ataupun cara memasarkan perkhidmatan mestilah dipertingkatkan sesuai dengan kehendak pasaran sejagat.
Kualiti produk dan perkhidmatan jangan sesekali dikompromi semata-mata untuk mengurangkan kos.
Dalam masa yang sama, jumlah usahawan kecil dan sederhana buniputra mestilah ditambah dengan pesat. Penambahan kuantiti golongan ini dengan sendirinya akan menjadi pemangkin kepada kewujudan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian bumiputra. Pelaksanaan K-ekonomi jangan melemaskan usahawan bumiputra.
Penggunaan teknologi informasi dan komunikasi sememangnya adalah asas kepada pelaksanaan K-ekonomi. Bagaimanapun, K-ekonomi juga turut mementingkan penyelidik dan pembangunan sebagai penterjemahan kepada teras ilmu dalam ekonomi baru.

Bergantung
Survival kaum Melayu pada era mendatang akan bergantung kepada keupayaan melakukan penyesuaian kepada cabaran dan realiti baru. Kebergantung kepada politik semata-mata jelas tidak mampu menyelamat umat kaum Melayu.
Gandingan mantap ekonomi dan politik akan memberi sedikit jaminan bahawa kaum Melayu mampu bersaing dengan ekonomi yang sebenar-benarnya terbuka.