Kemampuan politik Muslimah PAS hadapi ujian
oleh Azman Anuar

MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat ke-47 yang tamat seminggu lalu menunjukkan Dewan Muslimah PAS memberi tanda-tanda amaran kepada UMNO khususnya wanita dan Puteri UMNO yang menjadi saingan terdekatnya.
Jika sebelum ini PAS bertegas untuk tidak memberi jawatan penting kepada golongan wanita, apatah lagi untuk mencalonkan mereka dalam pilihan raya, namun sekarang nyata sudah berbeza.
Perubahan dalam arus politik PAS semakin memperlihatkan aliran pembaharuan agenda yang sedang dilakukan oleh parti tersebut. Muslimat PAS sudah pun diberi ruang menjadi perwakilan untuk memilih pemimpin dan dibenar juga bertanding merebut jawatan dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
PAS kini sedang berubah mengikut keadaan dan mereka tahu bahawa isu wanita adalah sangat penting dalam politik negara ini. PAS tidak boleh lagi selama-lamanya menafikan hak-hak wanita yang perlu mereka berikan.
Sebab itu kita lihat perubahan sedang berlaku dalam kepimpinan PAS apabila mereka memberi sokongan kepada wanita untuk berada dalam haerarki kepimpinan parti yang selama ini didominasi oleh kaum lelaki.
Sekira trend ini berpanjangan iaitu dengan memberi kedudukan jawatan kepada Muslimatnya dan juga memberi ruang kepada gulungan profesionalnya, maka ia akan memberi kesan jangka panjang kepada politik pimpinan ulama PAS.
Apabila dalam Dewan Muslimat PAS itu sendiri terdiri daripada golongan profesional yang mempunyai kepakaran masing-masing dan dalam masa berakar umbi dengan tradisi pegangan Islam mereka, ini akan memberi satu cabaran kepada pergerakan Wanita UMNO, khususnya Puteri UMNO. Akan sampai satu tahap dimana kemungkinan pengundi dan kaum Melayu akan mempunyai dua pilihan.
Satu corak pemimpin wanita terdiri daripada ahli-ahli politik daripada wanita UMNO dan satu lagi daripada Mulimat PAS. Namun ia juga bergantung kepada sejauh mana Islam yang akan dibawa oleh Dewan Muslimat PAS itu?
Sekiranya Islam yang ingin dibawanya lebih bersifat dalam konteks hukum, maka wanita PAS akan menghadapi laluan sukar. Tetapi sekiranya mereka mempunyai pandangan yang semakin liberal dengan beberapa isu, misalnya yang melibatkan hak-hak wanita, maka Wanita UMNO akan menghadapi saingan yang mencabar pada masa akan datang.
Jika Puteri UMNO meletakkan misalnya seorang selebriti terkenal dan Muslimat PAS meletak seorang wanita profesional yang juga boleh bergaul dengan kaum lelaki dengan berpegang kuat hukum Islam dan ideologi PAS, maka bayangkan apa akan berlaku pada waktu itu kepada Wanita UMNO, khususnya Puteri UMNO.
Menurut pemerhati politik, Dr. Zambry Abd. Kadir, pada peringkat sekarang, Wanita UMNO ada kelebihan kerana aliran Islam yang dibawa oleh pergerakan itu lebih sederhana dan berjaya memenangi para pengundi wanita khususnya di kawasan kampung.
Pendekatan sederhana Wanita UMNO ini dapat di lihat dengan lebih 70 peratus anggotanya memakai tudung, aktif berpolitik dan mereka tidak memaki hamun, mengumpat nista musuh-musuh politik. Malah mereka tidak menjatuhkan hukum kepada musuh politik daripada parti lain.

Agresif

Tetapi, sekiranya yang ada hari ini pun akan dicabar dengan penonjolan pemimpin Muslimat PAS yang nampaknya semakin agresif dengan pimpinan Ketua Dewan Muslimat yang baru, Fatimah Zainab Ibrahim yang bersikap sederhana dan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali yang lantang bersuara, serta Dr. Maruah Mahmud, Kalthom Othman dan Senator Jamilah Ibrahim, lambat laun akan memberi cabaran kepada Wanita UMNO.
Walaupun daripada empat calon Muslimat yang cuba merebut jawatan Jawatankuasa PAS Pusat, tetapi hanya Dr. Lo' Lo' seorang sahaja yang berjaya dipilih, ini menunjukkan ahli-ahli PAS mahukan perubahan dan berfikiran terbuka terhadap kehadiran wanita dalam kepimpinan PAS.
Kelonggaran membenarkan wanita bertanding untuk jawatan itu, sebenarnya bertujuan memberi mesej kepada kaum Melayu bahawa Muslimat PAS bakal mendapat tempat yang lebih baik dalam parti itu.
Sebelum ini, ramai pemimpin atasan PAS terutama golongan ulama dikatakan tidak bersetuju wanita bertanding jawatan penting parti atas alasan dengan keadaan dunia politik sekarang yang kotor dan sebagainya, mereka merasakan tidak tergamak untuk meletakkan wanita PAS dalam situasi sedemekian.
Perubahan suasana politik negara sekarang dan cita-cita untuk menguasai Kerajaan Pusat, selepas berjaya menguasai kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu, PAS memperlihatkan seolah-olah mereka kini terpaksa 'merelakannya' penampilan Muslimatnya ekoran wujudnya arus kuat daripada akar umbi yang mahukan pemikiran sempit seumpama itu dikiburkan sahaja.
Arus kuat perubahan ini sememangnya sukar untuk dibendung lagi terutama apabila ditunjukkan secara terbuka oleh golongan profesional yang mahukan ruang yang lebih luas diberikan kepada mereka untuk berkhidmat dalam parti.
Golongan ulama PAS juga sudah tidak mampu lagi untuk meminggirkan pengaryh wanita yang menuntut jawatan yang lebih dalam parti.
Selama ini golongan wanita dalam parti itu sentiasa dilihat sebagai anggota kelas dua ekoran pelbagai sekatan yang dikenakan ke atas mereka berbanding anggota lelaki. Pemimpin Muslimat PAS yang kebayakannya ustazah dilihat sebagai pencukup koram ahli sahaja dan suara mereka jarang diambil kira dalam membuata apa-apa keputusan penting berkaitan parti.
Bagaimanpun perkembangan terbaru menunjukkan ada usaha pucuk pemimpin PAS untuk bersikap lebih leberal.
Ada setengah pihak menganggap perubahan ini sebagai satu strategi terbaru PAS yang nampaknya terpaksa melakukannya demi untuk memenangi lebih banyak undi, kerana PAS sendiri tahu lebih separuh pengundi adalah kaum wanita.
Selepas perasmian muktamar PAS minggu lalu, Dr. Lo' Lo' berkata bahawa PAS perlu membuka ruang kepada Muslimat dengan mengambil kira peranan mereka (Muslimat) dalam parti dan kesedaran mengenai kesaksamaan politik antara wanita dan lelaki. Cadangan ini dibuat kerana mengambil kira pandangan beberapa ulama sebelum ini yang tidak menghalang Muslimat berbuat demikian dan keperluan politik semasa.
Bagaimana keputusan sama ada Muslimat boleh bertanding dalam pilihan raya masih bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS. Malah dalam sejarah PAS, bekas Ketua Dewan Muslimatnya Khatijah Sidek pernah dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri di Terengganu dalam pilihan raya 1964. allahyarhamah Khatijah bukan sahaja menjadi calon Muslimat PAS yang pertama, malah berjaya memenangi pilihan raya itu.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS, Fatimah Zainab Ibrahim (isteri pemimpin Majlis Dewan Ulama PAS, Harun Taib), pihaknya tidak akan memaksa atau mendesak parti untuk memberi laluan kepada Muslimat menjadi calon pilihan raya.
Keputusan terserah kepada Dewan syura menentukan sama ada sesuai atau tidak untuk parti meletakkan Muslimat sebagai calon. Ini membayangkan harapan ahli Muslimat PAS untuk melihat sesiapa di antara mereka berdiri sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang, akan mengambil masa lagi.
Fatimah yang dihubungi oleh Utusan, menegaskan walaupun Muslimat tidak dipilih tetapi mereka mempunyai tanggungjawab besar untuk melindungi wanita melalui Islam dan meningkatkan perjuangan Islam.

Diskriminasi

Menurut beliau lagi, sebenarnya tiada perubahan yang berlaku seperti yang diheboh-hebohkan oleh sesetengah pihak tentang Dewan Muslimat.
"Kepimpinan PAS menerima pandangan daripada Muslimat. sebenarnya ini menunjukkan tiada perubahan dan tidak berlaku diskriminasi tentang kedudukan kaum Muslimat PAS," katanya.
Beliau yakin bahawa wakil Muslimat PAS yang dipilih berada dalam barisan kepimpinana parti akan dapat menyesuaikan diri mereka.
Menurut pensyarah Jabatan Sains Polotik, Universiti Kebangsaan Malaysia, saliha Hassan, perubahan yang dilakukan dalam PAS terhadap Dewan Muslimat bukan bermotifkan wanitanya mahu kedudukan dalam kepimpinan PAS.
"Biasnya yang dicari ialah undi dan ini tidak ada bezanya dengan ahli-ahli politik wanita daripada parti-parti lain," kata Saliha.
Dalam soal mendesak atau menuntut untuk menjadi calon dalam pilihan raya, kata Saliha, perkara ini tidak timbul. Ini kerana sejak dahulu, Muslimat PAS dilihat patuh kepada keputusan kepimpinan parti. Malah mereka dilihat sentiasa bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
Perubahan yang berlaku dalam PAS sekarang menunjukan perkembangan yang sihat untuk Dewan Muslimat PAS. Kehadiran golongan profesional wanita diterima dalam barisan pucuk pimpinan PAS bukan sahaj diberi ruang tetapi juga pengiktirafan kepada mereka oleh pucuk pimpinan PAS.