Pelacur Bangladesh rai keputusan mahkamah
Berita Harian 31.3.2

Dhaka, Khamis(30.3.2K) - Beratus-ratus pelacur yang diusir dari tiga rumah pelacuran di Bangladesh, meraikan keputusan mahkamah yang mengisytiharkan pekerjaan mereka tidak haram, ketika kerajaan berusaha mencabar keputusan itu, hari ini.
"Keputusan mahkamah memudahkan laluan kami untuk menegakkan hak kami," kata seorang pelacur, Shanaj, kepada orang ramai di Taman Osmany Uddayan.
Pelacur terbabit berhimpun untuk meraikan keputusan itu dan cuba untuk menangi pendapat awam berhubung perisytiharan mahkamah di negara Islam itu.
Kegembiraan mereka disambut pada hari kerajaan merayu keputusan itu, yang dibuat dua minggu lalu oleh hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Fazrul Karim dan Mohammad Wahab Miah, yang mengisytiharkan bahawa pelacuran 'tidak haram'.
Hakim Dewan, Mahmudul Ameen Chowdhury, mengumumkan pengekalan keputusan itu selama sebulan dan enggan mengulas mengenai rayuan kerajaan.
Menurut perlembagaan Bangladesh, 'kerajaan akan menerima pakai beberapa langkah berkesan untuk mencegah pelacuran dan perjudian'.
Bagaimanpun, hakim Mahkamah Tinggi itu berkata 'hak untuk hidup, yang dijamin mengikut fasal 31 dalam perlembagaan, harus dilihat sebagai hak untuk meneruskan kehidupan, hak yang tidak boleh dirampas kecuali yang sejajar dengan proses undang-undang,.
Keputusan itu menegaskan bahawa 'pekerjaan itu tidak haram kerana mereka melakukannya untuk mencari nafkah'.
"Mereka tidak harus dipaksa untuk berhenti melakukan pekerjaan itu... hak pelacur untuk hidup adalah hak asasi," kata hakim ketika mengumumkan keputusan awal mereka.
Beberapa pertubuhan hak asasi menusia memperjuangkan kes itu selepas beribi-ribu pelacur diusir dari rumah pelacuran di kawasan pelabuhan Narayanganj yang berdekatan, Julai tahun lalu. - AFP