Surah Al-Isra'
Surah ini juga dinamakan surah Bani Israel. Surah ini diwahyukan
di Makkah.
(1.) Pokok perbincangan surah ini adalah peristiwa Isra'
Rasulullah dari Makkah ke Baitul-Maqdis.
(2.) Detik-detik sejarah kemajuan dan kejatuhan Bani Israel.
Intisari ruku' (1) bagi surah ini ialah :
(1.) Peristiwa Israk dari Masjid Al-Haram ke Masjid Baitu-Maqdis.
(2.) Sejarah Bani Israel zaman purba.
(3.) Tugas agung Al-Quran.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 1 - Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya
(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke
Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya,
untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan
kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar,
lagi Maha Mengetahui.
Ayat 2 - Dan Kami telah memberikan Nabi Musa Kitab Taurat,
dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Israil (serta Kami
perintahkan mereka): "Janganlah kamu jadikan yang lain
daripadaKu sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kamu
kepadanya)".
Ayat 3 - (Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa
bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia
adalah seorang hamba yang bersyukur.
Ayat 4 - Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab
itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi
(Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong
angkuh dengan melampau.
Ayat 5 - Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan
kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami
datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat
ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau
(membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu)
adalah satu janji yang tetap berlaku.
Ayat 6 - Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan
kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri
kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta
Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.
Intisari ruku' (2) bagi surah ini ialah :
Menerangkan hikmat kejadian malam dan siang.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 12 - Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda
(yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam
itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang
itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah
kurnia Tuhan kamu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan
hitungan hisab (bulan dan hari); dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu
(yang kamu perlukan untuk dunia dan ugama kamu), Kami telah
menerangkannya satu persatu (dalam Al-Quran) dengan
sejelas-jelasnya.
Intisari ruku' (3) dan (4) bagi surah ini ialah :
Menerangkan disiplin-disiplin asasi bagi hubungan di antara
manusia dengan Khaliqnya dan hubungan di antara manusia dengan
sesama manusia.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 23 - Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak
menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau
berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya,
atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan
peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka
(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha",
dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan
santun).
Ayat 24 - Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat
kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Ayat 25 - Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada
hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi
perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi
orang-orang yang bertaubat.
Ayat 26 - Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin
serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah
engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.
Ayat 27 - Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah
saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk
yang sangat kufur kepada Tuhannya.
Ayat 28 - Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani
mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan,
maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati.
Ayat 29 - Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu
di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan
sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan
keadaan yang tercela serta kering keputusan.
Ayat 30 - Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya),
dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian).
Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat
akan hamba-hambaNya.
Ayat 31 - Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana
takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan
kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu
kesalahan yang besar.
Ayat 32 - Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya
zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang
jahat (yang membawa kerosakan).
Ayat 33 - Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia
yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang
benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya
Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam
pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu,
kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan
(menurut hukum Syarak).
Ayat 34 - Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim
melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan
mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak
mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian
(dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu
akan ditanya.
Ayat 35 - Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat,
dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik
(kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang
mendatangkan pahala di akhirat kelak).
Ayat 36 - Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak
mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan
penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan
ditanya tentang apa yang dilakukannya.
Ayat 37 - Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan
berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat
menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi
gunung-ganang.
Ayat 38 - Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah
kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu.
Ayat 39 - Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari
hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh
Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama
Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau
akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela
dan tersingkir (dari rahmat Allah).
Intisari ruku' (5) dan (6) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan konsep kesucian Allah dari sekutu yang
diada-adakan oleh manusia.
(2.) Al-Quran itu tidak dapat dinikmati oleh
orang-orang kafir.
(3.) Menerangkan hujah lapuk ornag-orang kafir yang
tiada mempercayai hari kebangkitan semula.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 42 - Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah ada
tuhan-tuhan yang lain bersama-sama Allah, sebagaimana yang mereka
katakan itu, tentulah tuhan-tuhan itu akan mencari jalan kepada
Allah yang mempunyai Arasy (dan kekuasaan yang mutlak).
Ayat 43 - Maha Sucilah Allah dan tertinggilah Ia
setinggi-tingginya, jauh dari apa yang mereka katakan itu.
Ayat 44 - Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk
yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada
sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu
tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha
Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Ayat 45 - Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai
Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki
orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai
dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada
memahami bacaanmu.
Ayat 46 - Dan Kami jadikan (perasaan itu sebagai) tutupan
yang berlapis-lapis atas hati mereka, juga sebagai penyumbat pada
telinga mereka, yang menghalang mereka dari memahami dan
mendengar kebenaran Al- Quran; dan sebab itulah apabila engkau
menyebut nama Tuhanmu sahaja di dalam Al-Quran, mereka berpaling
undur melarikan diri.
Ayat 47 - Kami lebih mengetahui akan tujuan mereka mendengar
Al-Quran semasa mereka mendengar bacaanmu (wahai Muhammad), dan
semasa mereka berbisik-bisik iaitu ketika orang-orang yang zalim
itu berkata (sesama sendiri): "Kamu tidak menurut melainkan
seorang yang kena sihir".
Ayat 50 - Katakanlah (wahai Muhammad):" Jadilah kamu
batu atau besi -
Ayat 51 - Atau lain-lain makhluk yang terlintas di hati kamu
sukar hidupnya, (maka Allah berkuasa menghidupkannya)!"
Mereka pula akan bertanya: "Siapakah yang akan mengembalikan
kita hidup semula?" Katakanlah: "Ialah Allah yang
menjadikan kamu pada mulanya!" Maka mereka akan
menganggukkan kepala mereka kepadamu sambil bertanya secara
mengejek: Bila berlakunya?" Katakanlah: "Dipercayai
akan berlaku tidak lama lagi!"
Ayat 52 - (Ingatlah akan) hari Ia menyeru kamu lalu kamu
menyahut sambil memuji kekuasaanNya, dan kamu menyangka, bahawa
kamu tinggal (dalam kubur) hanya sebentar.
Intisari ruku' (7) bagi surah ini ialah :
Menerangkan titik sejarah perseteruan abadi di antara
manusia dan iblis.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 61 - Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami
berfirman kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam";
maka mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah
aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang
di adun)?"
Ayat 62 - Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman
kepada malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam"; maka
mereka sujudlah melainkan iblis; ia berkata: "Patutkah aku
sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di
adun)?"
Ayat 63 - Allah berfirman (kepada iblis): "Pergilah
(lakukanlah apa yang engkau rancangkan)! Kemudian siapa yang
menurutmu di antara mereka, maka sesungguhnya neraka Jahannamlah
balasan kamu semua, sebagai balasan yang cukup.
Ayat 64 - Dan desak serta pujuklah sesiapa yang engkau dapat
memujuknya dengan suaramu; dan kerahlah penyokong-penyokongmu
yang berkuda serta yang berjalan kaki untuk mengalahkan mereka;
dan turut - campurlah dengan mereka dalam menguruskan harta-benda
dan anak-anak (mereka); dan janjikanlah mereka (dengan
janji-janjimu)". Padahal tidak ada yang dijanjikan oleh
Syaitan itu melainkan tipu daya semata-mata.
Ayat 65 - Sesungguhnya hamba-hambaKu (yang beriman dengan
ikhlas), tiadalah engkau (hai iblis) mempunyai sebarang kuasa
terhadap mereka (untuk menyesatkannya); cukuplah Tuhanmu (wahai
Muhammad) menjadi Pelindung (bagi mereka).
Intisari ruku' (8) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa orang yang menolak dakwah itu adalah
orang yang buta abadi
Sumber ambilan ialah :
Ayat 72 - Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia
ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di
akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.
Intisari ruku' (9) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa Al-Quran itu penawar yang empuh.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 82 - Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari
Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi
orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran
tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran
mereka) melainkan kerugian jua.
Intisari ruku' (10) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan hakiakt ruh
(2.) Mendedahkan hujah-hujah lapuk kaum Musyrikin.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 85 - Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh.
Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu
tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
Ayat 90 - Dan mereka berkata: "Kami tidak
sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga
engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami.
Ayat 91 - Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari
pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan
sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar
terus-menerus.
Ayat 92 - Atau (sehingga) engkau gugurkan langit
berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan
berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk
kami menyaksikannya.
Intisari ruku' (11) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan bahawa Rasul itu hanya wajar dibangkitkan
dari kalangan manusia juga.
(2.) Menerangkan hujah agung bagi kepercayaan hidup selepas mati.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 94 - Dan tiadalah yang menghalang orang-orang
musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah
petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi
Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: "Patutkah
Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?"
Ayat 95 - Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau ada
di bumi, malaikat yang berjalan serta tinggal mendiaminya,
tentulah kami akan turunkan kepada mereka dari langit, malaikat
yang menjadi rasul".
Ayat 96 - Katakanlah lagi: "Cukuplah Allah menjadi saksi
antaraku dengan kamu; sesungguhnya adalah Ia Amat Mendalam
pengetahuanNya, lagi Amat Melihat akan keadaan
hamba-hambaNya".
Ayat 98 - Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka
kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata: "Adakah
sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah Kami
akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
Ayat 99 - Tidakkah mereka mahu memikirkan dan meyakini
bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa
menciptakan orang orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang
baharu), padahal Ia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang
tidak ada syak padanya.? Dalam pada itu, orang orang yang zalim
enggan menerima melainkan kekufuran.
Intisari ruku' (12) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa hanya orang-orang yang beriman sahaj
menjunjung tinggi wahyu dari Allah.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 107 - Katakanlah (wahai Muhammad kepada orang-orang
yang ingkar itu): "Sama ada kamu beriman kepada Al-Quran
atau kamu tiada beriman, (tidaklah menjadi hal); kerana
sesungguhnya orang-orang yang diberi ilmu sebelum itu apabila
dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka segera tunduk sujud
(dalam keadaan hiba dan khusyuk);
Ayat 108 - Serta mereka menegaskan (dalam sujudnya):
"Maha Suci Tuhan kami! Sesungguhnya janji Tuhan kami tetap
terlaksana. "
Ayat 109 - Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil
menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.
Khulasah Al-Quran