Surah Al-Hajj
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
- Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu!
Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang
amat besar.
- Pada hari kamu
melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu,
tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang
disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung
akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan
melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak
mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
- Dan ada di antara manusia yang membantah
perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan, dan ia menurut
tiap-tiap syaitan yang telah sebati dengan kejahatan.
- Yang telah ditetapkan kepada (tiap-tiap) syaitan
itu, bahawa sesiapa yang berketuakan dia, maka
sesungguhnya ia akan menyesatkannya dan memimpinnya
kepada azab neraka.
- Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak
(ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula
pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan
kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah
menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air
benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari
seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang
tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian)
kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan
Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim
(ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga
ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami
mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu
dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan
(dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan
(semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang
dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia
tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah
diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi);
Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami
menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan
tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur
membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis
tanaman yang indah permai.
- (Kedua-dua kenyataan) yang tersebut membuktikan
bahawa sesungguhnya Allah jualah Tuhan Yang
Sebenar-benarnya (yang berhak disembah), dan sesungguhnya
Dia lah yang menghidupkan makhluk-makhluk yang mati, dan
Dia lah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan
datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa
sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan
semula) orang-orang yang di dalam kubur.
- Dan ada di antara manusia yang membantah dalam
perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak
berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan
sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana
Kitab Allah yang menerangi kebenaran;
- Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya
dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan
orang lain dari jalan ugama Allah; ia akan beroleh
kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang
membakar pada hari kiamat kelak;
- Ia membantah sambil memalingkan sebelah badannya
dengan sombong angkuh sehingga menghalang dirinya dan
orang lain dari jalan ugama Allah; ia akan beroleh
kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang
membakar pada hari kiamat kelak;
- Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah
dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau
ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan
itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan,
berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan
sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah
kerugian yang terang nyata.
- Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain
dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak
dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan
yang jauh terpesong.
- Ia menyeru dan menyembah makhluk yang - dengan
perbuatan demikian - mudaratnya lebih dekat dari manfaat
yang diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk
penolong dan seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk
yang diseru dan disembahnya itu.
- Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir
di bawahnya beberapa sungai; sesungguhnya Allah melakukan
apa yang ditentukanNya.
- Sesiapa yang menyangka bahawa Allah tidak
sekali-kali akan menolong Nabi Muhammad dalam dunia ini
dan di akhirat kelak, maka hendaklah ia menghulurkan tali
(serta mengikatnya) di bumbong rumahnya, kemudian
hendaklah ia menjerut lehernya (supaya ia mati tercekek);
dalam pada itu hendaklah ia memikirkan lebih dahulu,
adakah tipu dayanya itu dapat menghapuskan sebab-sebab
yang menimbulkan kemarahannya?
- Dan demikianlah pula Kami menurunkan Al-Quran itu
sebagai ayat-ayat keterangan yang jelas nyata; dan
sesungguhnya Allah memberi hidayah petunjuk kepada
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan dan
undang-undangNya).
- Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan
orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan
orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta
orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan
hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana
sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan
tiap-tiap sesuatu.
- Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada
di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di
antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan
bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu,
dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari
manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak
ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya);
dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia
tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya.
Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang
dirancangkanNya.
- Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang
berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang
yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api
neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas
yang menggelegak,
- Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut
mereka, dan juga kulit badan mereka.
- Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk
menyeksa mereka.
- Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka
itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka
dikembalikan padanya, serta dikatakan: "Rasalah kamu
azab seksa yang membakar!"
- Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh ke dalam Syurga yang mengalir
padanya beberapa sungai; mereka dihiaskan di situ dengan
gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di
situ dari sutera.
- Dan mereka diberi petunjuk kepada mengucapkan
kata-kata yang baik, serta diberi petunjuk ke jalan Allah
Yang Amat Terpuji.
- Sesungguhnya (amatlah zalim)
orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari
jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid
Al-Haraam (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat
untuk seluruh umat manusia (yang beriman) - sama ada yang
tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan
sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan
yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan
merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.
- Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan
bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu
Kami berfirman kepadanya): "Janganlah engkau
sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu
(Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang
yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan
sembahyang).
- "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan
ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan)
mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang
berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari
berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.
- "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara
yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati
dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu,
kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan
binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan
yang demikian makanlah kamu dari (daging)
binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada
orang yang susah, yang fakir miskin.
- "Kemudian hendaklah mereka membersihkan
dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan
nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah
(Kaabah) yang tua sejarahnya itu".
- Itulah yang wajib dipatuhi; dan sesiapa yang
menghormati hukum-hukum Allah maka yang demikian menjadi
kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi
kamu binatang-binatang ternak, kecuali yang dibacakan
kepada kamu (tentang haramnya), maka jauhilah kekotoran
syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta
jauhilah perkataan yang dusta, -
- (Amalkanlah perkara-perkara itu) dengan tulus
ikhlas kepada Allah, serta tidak mempersekutukan sesuatu
pun denganNya; dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu
yang lain dengan Allah maka seolah-olah dia jatuh dari
langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh
angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan).
- Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang
menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang
yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu
kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.
- Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan kegunaan
pada binatang ternak itu hingga ke suatu masa yang
tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu
menyembelihnya ketika sampai di tanah haram Baitullah
yang tua sejarahnya itu.
- Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat
menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka
menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya
kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih
itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa,
maka hendaklah kamu tunduk taat kepadaNya; dan
sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada
orang-orang yang tunduk taat -
- Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah,
gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar
(cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan
orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang
yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan
kepadanya.
- Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada
fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama
Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada
kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa
menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya
maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah
sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain)
kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.
Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya
dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
- Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu
tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang
sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan
taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan
binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan
Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan
sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang
sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya
baik amalnya.
- Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang
beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap
seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.
- Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang
diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya
mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat
Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
- Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya
dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar,
(mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata:
"Tuhan kami ialah Allah". Dan kalaulah Allah
tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan
setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat
pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan
tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga
masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama
Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan
menolong sesiapa yang menolong ugamaNya (ugama Islam);
sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa; -
- Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan
mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka
mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka
menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan
kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi
Allah jualah kesudahan segala urusan.
- Dan jika mereka (yang kafir
itu) mendustakanmu (wahai Muhammad), maka (yang demikian
tidaklah pelik) kerana sesungguhnya sebelum mereka: Kaum
Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), serta Thamud (kaum
Nabi Soleh) telah juga mendustakan Rasul masing-masing;
- Dan (demikian juga) kaum Nabi Ibrahim dan kaum Nabi
Lut;
- Dan juga penduduk Madyan; dan Nabi Musa juga telah
didustakan; maka Aku memberi tempoh kepada orang-orang
kafir itu, kemudian Aku menimpakan mereka dengan azab
seksa. Dengan yang demikian perhatikanlah bagaimana
buruknya kesan kemurkaanKu.
- Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami
binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh
ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula
telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam
(telah kosong, ditinggalkan).
- Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di
muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang
tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang
dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang
dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka
mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang
sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang
buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.
- Dan mereka meminta kepadamu (wahai Muhammad)
menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak
sekali-kali akan memungkiri janjiNya; dan (katakanlah
kepada mereka): sesungguhnya satu hari dari hari-hari
azab di sisi Tuhanmu adalah menyamai seribu tahun dari
yang kamu hitung.
- Dan bukan sedikit negeri-negeri yang Aku beri
tempoh, sedang penduduknya berlaku zalim; kemudian Aku
menimpakannya dengan azab seksa; dan (ingatlah) kepada
Akulah tempat kembali.
- Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian
manusia, aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi
amaran yang menjelaskan keterangan-keterangan kepada
kamu".
- Maka orang-orang yang beriman
dan beramal soleh akan beroleh keampunan dan limpah
kurnia yang mulia.
- Dan (sebaliknya) orang-orang yang berusaha
menentang dan membatalkan ayat-ayat keterangan Kami,
mereka itulah ahli neraka.
- Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang
Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita
(supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang
dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya
mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya;
oleh itu, Allah segera menghapuskan apa yang telah
diganggu oleh Syaitan, kemudian Allah menetapkan
ayat-ayatNya dengan kukuhnya; dan Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
- (Yang demikian) kerana Allah hendak menjadikan
hasutan Syaitan itu sebagai satu fitnah cubaan bagi
orang-orang yang ada penyakit kufur ingkar dalam hati
mereka, dan yang hatinya keras membatu; dan sesungguhnya
mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam pertentangan
yang jauh dari kebenaran.
- Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu
mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari
Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk
taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah
sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang
lurus.
- Dan orang-orang kafir tetap di dalam keraguan
terhadap Al-Quran hingga datang kepada mereka saat kiamat
secara mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang
tidak ada kebaikan untuk mereka.
- Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu tertentu
bagi Allah. Ia akan menghukum di antara mereka. Maka
orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di
dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan
kesenangan;
- Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan
ayat-ayat keterangan kami, maka mereka beroleh azab seksa
yang menghina.
- Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah,
kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah
akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik.
Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik
pemberi limpah kurnia.
- Sudah tentu Allah akan memasukkan mereka (yang
tersebut itu) ke tempat yang mereka sukai (Syurga), dan
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
- Demikianlah (janji balasan
Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang
membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan
kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya
Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah)
sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
- (Pertolongan yang dijanjikan Allah tetap berlaku)
kerana Allah berkuasa menukar gantikan sesuatu keadaan
sebagaimana kuasaNya memasukkan malam pada siang dan
memasukkan siang pada malam (silih berganti); dan
(ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha
Melihat.
- Bersifatnya Allah dengan kekuasaan dan luas ilmu
pengetahuan itu kerana bahawasanya Allah, Dia lah sahaja
Tuhan Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang
mereka sembah selain dari Allah itulah yang nyata
palsunya. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah jualah Yang
Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar (kekuasaanNya)
- Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah
menurunkan hujan dari langit, lalu menjadilah bumi ini
hijau subur (dengan sebabnya)? Sesungguhnya Allah Maha
Halus serta lemah-lembut (urusan tadbirNya), lagi Maha
Mendalam pengetahuanNya (akan hal-ehwal sekalian
makhlukNya).
- Segala yang ada di langit dan di bumi adalah
kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang
Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
- Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah
memudahkan apa yang ada di bumi untuk kegunaan kamu, dan
(demikian juga) kapal-kapal yang belayar di laut dengan
perintahNya? Dan Ia pula menahan langit daripada runtuh
menimpa bumi, kecuali dengan izinNya; sesungguhnya Allah
Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat
manusia.
- Dan Dia lah yang menghidupkan kamu, kemudian Ia
mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu semula.
Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.
- Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang
tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah
ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan
syariaatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia
kepada ugama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah
berada di atas jalan yang lurus.
- Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu,
maka katakanlah: "Allah Amat" mengetahui akan
apa yang kamu lakukan.
- "Allah akan menghukum di antara kamu semua
pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan
padanya".
- Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah
mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi?
Sesungguhnya yang demikian itu ada tertulis di dalam
Kitab (Lauh Mahfuz); sesungguhnya hal itu amatlah mudah
bagi Allah.
- Dan mereka menyembah yang lain dari Allah iaitu
benda-benda yang Allah tidak menurunkan sebarang
keterangan membenarkannya, dan yang mereka tidak
mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya dan (ingatlah)
tiadalah bagi orang-orang yang zalim (dengan perbuatan
syirik) itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan
(di dunia dan di akhirat).
- Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami
yang jelas nyata, engkau akan dapat melihat pada muka
orang-orang yang kafir itu tanda marah dan benci,
hampir-hampir mereka hendak menerkam dan menyerang
orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka.
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika demikian,
mahukah, aku khabarkan kepada kamu: yang lebih buruk lagi
daripada apa yang telah menyebabkan kemarahan kamu itu?
Ialah neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada
orang-orang yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat
kembali! "
- Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal
perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan
bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan
sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan
dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun
beramai-ramai untuk membuatnya; dan jika lalat itu
mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat
mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah
belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya), dan
lemah yang diminta (daripada menunaikannya).
- Mereka (yang kafir musyrik) itu tidak menghormati
Allah menurut penghormatan yang selayaknya (sebagaimana
yang ditetapkanNya); sesungguhnya Allah adalah Maha Kuat,
lagi Maha Kuasa.
- Allah memilih utusan-utusanNya dari malaikat dan
dari manusia; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi
Maha Mengetahui.
- Ia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan
apa yang ada di belakang mereka; dan kepada Allah jualah
kembalinya segala urusan.
- Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta
sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah
kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta
kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di
dunia dan di akhirat).
- Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad
yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk
mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan
kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam
perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan
kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan
di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad)
menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu,
dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang
memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang
benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang,
dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada
Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian
sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan
sebaik-baik Pemberi pertolongan.