An-Nuur
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
- Ini ialah satu "surah" yang Kami
turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hukumnya, serta Kami
turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang nyata supaya
kamu beringat (mengamalkannya).
- Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina,
hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya
seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh
perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam
menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman
kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan
hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh
sekumpulan dari orang-orang yang beriman.
- Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin
berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau
perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina itu pula
(lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh
lelaki yang berzina atau lelaki musyrik. Dan perkahwinan
yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang
beriman.
- Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina)
kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian
mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah
mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu
menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana
mereka adalah orang-orang yang fasik; -
- Kecuali orang-orang yang
bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut)
serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina,
sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan
tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian
(sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu
hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali,
bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; -
- Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata):
Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari
orang-orang yang dusta.
- Dan bagi menghindarkan hukuman seksa dari isteri
(yang kena tuduh) itu hendaklah ia bersumpah dengan nama
Allah, empat kali, bahawa suaminya (yang menuduh) itu
sesungguhnya adalah dari orang-orang yang berdusta; -
- Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata);
Bahawa kemurkaan Allah akan menimpa dirinya jika suaminya
dari orang-orang yang benar.
- Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia
Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak
kerana) bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha
Bijaksana, (tentulah kamu akan) akan mengalami kesusahan
yang sukar diatasi).
- Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang
amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu;
janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk
bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di
antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan
kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil
bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan
beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
- Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu,
orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan, menaruh
baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan
berkata: "Ini ialah tuduhan dusta yang nyata".
- Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat
orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka
tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu
pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.
- Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia
Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat,
tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan
kamu turut campur dalam berita palsu itu; -
- Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita
dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan
mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai
pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula
menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum
Allah adalah perkara yang besar dosanya.
- Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu
segera berkata: "Tidaklah layak bagi kami
memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari
mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah
satu dusta besar yang mengejutkan".
- Allah memberi pengajaran kepada kamu, supaya kamu
tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini
selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
- Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat
keterangan (hukum-hukumNya); kerana Allah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
- Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah
tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang
yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak
terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah)
Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak
mengetahui (yang demikian).
- Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia
Allah dan rahmatNya kepada kamu, dan juga (kalaulah tidak
kerana) bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya,
(tentulah kamu akan ditimpa azab dengan serta-merta).
- Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
menurut jejak langkah Syaitan; dan sesiapa yang menurut
jejak langkah Syaitan, maka sesungguhnya Syaitan itu
sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan
perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan
kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya
kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu
menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi
Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang peraturanNya); dan (ingatlah Allah Maha
Mendengar) lagi Maha Mengetahui
- Dan janganlah orang-orang yang
berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu,
bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum
kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang
berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah
mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang
itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa
kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha
Mengasihani.
- Sesungguhnya orang-orang yang menuduh
perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang
tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang
beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di
akhirat dan, mereka pula akan beroleh azab seksa yang
besar;
- Pada hari lidah mereka dan tangan mereka serta kaki
mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri,
tentang segala yang mereka lakukan.
- Pada hari itu Allah akan
menyempurnakan untuk mereka balasan (azab seksa) yang
berhak mereka mendapatnya, dan mereka pula akan
mengetahui bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Adil, lagi
nyata keadilanNya.
- (Lazimnya) perempuan-perempuan
yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan
lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang
jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik
untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang
baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang
baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang
dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang
baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan
pengurniaan yang mulia.
- Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu,
sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi
salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik
bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan
peraturan yang sopan itu).
- Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang
berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah
itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada
kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur
balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu;
dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu
lakukan.
- Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak
meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang,
yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah
mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu
sembunyikan.
- Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang
lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan
mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara
kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi
mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya
tentang apa yang mereka kerjakan.
- Dan katakanlah
kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan
memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir
daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher
bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada
suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka
atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau
saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara
mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka
yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau
hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang
lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada
perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi
tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka
menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang
tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu
sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman,
supaya kamu berjaya.
- Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan
perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh
dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka
miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari
limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan
limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
- Dan orang-orang yang tidak
mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga
kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada
mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu
(lelaki dan perempuan) yang hendak membuat surat
perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah
bayaran yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan
perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada
sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang
melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada
mereka dari harta Allah yang telah dikurniakan kepada
kamu. Dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan
kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga
kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan
hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka
sesungguhnya Allah - sesudah paksaan yang dilakukan
kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada
kamu, ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum
suruh dan tegah), dan contoh tauladan (mengenai
kisah-kisah dan berita) orang-orang yang telah lalu
sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang
yang (mahu) bertaqwa.
- Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur
hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah
sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah
lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca
itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar
cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok
yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan
sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja
semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada
matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan
sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana
jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur
hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang
berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan
peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah
mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat
manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.
- (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan
nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang
diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan
disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga
dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu
pagi dan petang.
- (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat
imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau
berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah,
dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka
takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati
dan pandangan.
- (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah
membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang
mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah
kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada
sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.
- Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka
adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang
disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju
ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu,
tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu;
(demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah
dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap
mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah
meyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan
(ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.
- Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah
umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di
lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih
ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah
keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang
itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya
sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan
Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya
(hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang
cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).
- Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang
Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya
sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta
burung-burung yang terbang berbaris di angkasa?
Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan
semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada
Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa
yang mereka lakukan.
- Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan
bumi dan kepada Allah sahaja tempat kembali (sekalian
makhluk).
- Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah
mengarahkan awan bergerak perlahan-lahan, kemudian Dia
mengumpulkan kelompok-kelompoknya, kemudian Dia
menjadikannya tebal berlapis-lapis? Selepas itu engkau
melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Allah pula
menurunkan hujan batu dari langit, dari gunung-ganang
(awan) yang ada padanya; lalu Ia menimpakan hujan batu
itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya
dari sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang
terpancar dari awan yang demikian keadaannya,
hampir-hampir menyambar dan menghilangkan pandangan.
- Allah menukarkan malam dan siang silih berganti;
sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang
mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata
hatinya berfikir.
- Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang
bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka
menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya
berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan
dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia
kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana
sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat
yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil
dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada
sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.
- Dan (di antara orang-orang yang tidak
dikehendakiNya ke jalan yang lurus ialah) mereka yang
berkata: "Kami beriman kepada Allah dan kepada
RasulNya serta kami taat"; kemudian sepuak dari
mereka berpaling (membelakangkan perintah Allah dan
Rasul) sesudah pengakuan itu, dan (kerana berpalingnya)
tidaklah mereka itu menjadi orang-orang yang sebenarnya
beriman.
- Dan (bukti berpalingnya mereka ialah) apabila
mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya
supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka,
maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling
ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak
menguntungkan mereka).
- Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak
kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan
tunduk taat (menerima hukumnya).
- (Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana
hati mereka mengandungi penyakit (kufur), atau kerana
mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun
kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan
berlaku zalim kepada mereka? (Allah dan RasulNya tidak
sekali-kali akan berlaku zalim) bahkan merekalah sendiri
orang-orang yang zalim (disebabkan keraguan dan kekufuran
mereka).
- Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh
orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada
Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim
memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka
berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan
mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
- Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan
takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya
jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah
orang-orang yang beroleh kemenangan.
- Dan mereka (yang munafik) bersumpah dengan nama
Allah, dengan sebebar-benar sumpahnya: bahawa jika engkau
(wahai Muhammad) perintahkan mereka (keluar berjihad),
tentulah mereka akan keluar. Katakanlah: " Janganlah
kamu bersumpah, (taat kamu itu) taat yang terkenal
(dustanya). Sesungguhnya Allah Amat Mendalam
pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan".
- Katakanlah lagi (kepada mereka): " Taatlah
kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah.
Kemudian jika kamu berpaling ingkar maka ketahuilah
bahawa sesungguhnya Rasul Allah hanya bertanggungjawab
akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula
bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu.
Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh hidayah
petunjuk; dan (sebenarnya) Rasul Allah hanyalah
bertanggungjawab menyampaikan perintah-perintah Allah
dengan penjelasan yang terang nyata".
- Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan
beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad)
bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang
memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah
menjadikan orang-orang yang sebelum mereka:
khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan
dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah
diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan
bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan
(dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu
dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu.
Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu,
maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
- Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah
zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu
beroleh rahmat.
- Janganlah engkau menyangka orang-orang kafir itu
akan dapat melemahkan kekuasaan Allah (daripada
menimpakan azab kepada mereka) di dunia, sedang tempat
kembali mereka ialah neraka; dan sesungguhnya neraka itu
adalah seburuk-buruk tempat kembali.
- Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari
kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke
tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang
subuh, dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan
tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga
masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu
padanya). Kamu dan mereka tidaklah bersalah kemudian
daripada tiga masa yang tersebut, (kerana mereka)
orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, dan
kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu
dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada
kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan hukum-hukumNya); dan
(ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
- Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah
baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti
cara orang-orang (yang telah cukup umur) yang tersebut
dahulu, meminta izin. Demikianlah Allah menerangkan
kepada kamu ayat-ayatNya (yang menjelaskan
hukum-hukumNya) dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana.
- Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus
kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin
lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian
luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan
mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga
kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya
itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah
Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
- Tidak ada salahnya bagi orang buta, dan tidak ada
salahnya bagi orang tempang, dan tidak ada salahnya bagi
orang sakit (jika masing-masing tidak menjalankan sesuatu
perintah disebabkan keuzurannya menghendaki ia berlaku
demikian), dan juga tidak ada salah bagi kamu (termasuk
orang-orang yang tersebut turut sama) makan di rumah kamu
sendiri, atau di rumah bapa kamu, atau di rumah ibu kamu,
atau di rumah saudara kamu yang lelaki, atau di rumah
saudara kamu yang perempuan, atau di rumah bapa saudara
kamu (sebelah bapa), atau di rumah emak saudara kamu
(sebelah bapa), atau di rumah bapa saudara kamu (sebelah
ibu), atau di rumah emak saudara kamu (sebelah ibu), atau
di rumah yang kamu kuasai kuncinya, atau di rumah sahabat
kamu; tidak juga menjadi salah bagi kamu, makan
bersama-sama atau berasing-asing. Maka apabila kamu masuk
ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada
(sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah
cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah
menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukumNya),
supaya kamu memahaminya.
- Sesungguhnya orang-orang yang
sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada
Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-sama
dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan
perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis
perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya.
Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu
(wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada
Allah dan RasulNya. Maka apabila meminta izin kepadamu
untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka
izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara
mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka;
sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan
Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan
sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di
antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi)
secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah
mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta
berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau
ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
- Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang
menguasai segala yang ada di langit dan di bumi.
Sesungguhnya Ia mengetahui keadaan yang kamu berada
padanya (wahai umat manusia); dan pada hari umat manusia
itu kembali kepadaNya, maka Ia akan menerangkan kepada
mereka segala yang mereka kerjakan, kerana sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu.