Surah Ar-Ruum
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
- Alif, Laam, Miim.
- Orang-orang Rom telah dikalahkan -
- Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah
kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya -
- Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada
pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum
berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika
berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman
akan bergembira -
- Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi
kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia
lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
- Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah
mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
- Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir nyata
dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pernah
ingat hendak mengambil tahu tentang hari akhirat.
- Patutkah mereka merasa cukup dengan mengetahui yang
demikian sahaja, dan tidak memikirkan dalam hati mereka,
(supaya mereka dapat mengetahui), bahawa Allah tidak
menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di
antara keduanya itu melainkan dengan ada gunanya yang
sebenar, dan dengan ada masa penghujungnya yang tertentu,
(juga untuk kembali menemui Penciptanya)? Dan sebenarnya
banyak di antara manusia, orang-orang yang sungguh ingkar
akan pertemuan dengan Tuhannya.
- Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di
muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan
orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu
lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu
telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada
kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang
itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan
membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu
mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka
dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak
sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang
menganiaya diri sendiri.
- Sesudah dibinasakan di dunia maka akibat
orang-orang yang melakukan kejahatan itu ialah
seburuk-buruk azab (di akhirat kelak), disebabkan mereka
mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan sentiasa
mempersendakannya.
- Allah memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian
Ia mengembalikannya (hidup semula pada hari kiamat),
kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan (untuk
menerima balasan).
- Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang
berdosa akan dia membisu serta berputus asa.
- Dan makhluk-makhluk yang mereka jadikan
sekutu-sekutu Allah itu tidak ada satupun daripadanya
pemberi syafaat melepaskan mereka (dari azab Allah),
padahal mereka berlaku kufur di dunia dahulu dengan sebab
makhluk-makhluk yang mereka sekutukan (dengan Allah) itu.
- Dan semasa berlakunya kiamat, mereka pada hari itu
akan berpecah kepada dua kumpulan (setelah selesai
perbicaraan).
- Adapun kumpulan orang-orang yang beriman dan
beramal soleh, maka mereka akan ditempatkan di taman
Syurga dalam keadaan bersuka ria.
- Dan sebaliknya kumpulan orang-orang yang kafir dan
mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran) serta mendustakan
pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap berada
dalam azab seksa selama-lamanya.
- (Setelah kamu mengetahui yang demikian) maka
bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada waktu
malam dan semasa kamu berada pada waktu subuh.
- Serta pujilah Allah yang berhak menerima segala
puji (dari sekalian makhlukNya) di langit dan di bumi,
dan juga (bertasbihlah kepadaNya serta pujilah Dia) pada
waktu petang dan semasa kamu berada pada waktu zuhur.
- Ia mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang
mati, dan mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang
hidup, serta menghidupkan bumi sesudah matinya; dan
sedemikian itulah kamu akan dikeluarkan (hidup semula
dari kubur).
- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Ia
menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja
peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia
yang hidup bertebaran di muka bumi.
- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk
kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu
sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra
dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri)
perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya
yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit
dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu.
Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berpengetahuan.
- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kemurahannya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada
waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari
rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu).
Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi
keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu
mendengar (nasihat pengajaran).
- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kebesaranNya dan kekuasaanNya, Ia memperlihatkan kilat
kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan
memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia
menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan bumi
sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang
demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi
orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.
- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan
ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan
bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah
dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Ia menyeru kamu
dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula)
dari bumi, kamu dengan serta merta keluar (dari kubur
masing-masing).
- Dan sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi
adalah hak kepunyaanNya, masing-masing tetap tunduk
kepada hukum peraturanNya.
- Dan Dia lah yang memulakan kejadian sekalian
makhluk, kemudian Ia mengembalikannya (hidup semula
sesudah mereka mati), sedang perlaksanaan yang demikian
amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat yang
tertinggi di langit dan di bumi, dan Dia lah jua Yang
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
- Ia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan
dari keadaan diri kamu sendiri, iaitu: Relakah kamu
menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu
miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda
yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya dengan
penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama-sama
berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani
(menguruskan harta benda itu dengan tiada persetujuan)
mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian
dengan orang-orang yang berkongsi dengan kamu - yang
setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah Kami menjelaskan
keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang
menggunakan akal untuk memahaminya.
- Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan
menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak
berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat
memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh
Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi
mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari
azab.
- (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka
hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai
Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan;
(turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah
menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari
semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada
sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama
yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak
mengetahui.
- Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan
pengikut-pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah
(dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah
kamu kepadaNya; dan kerjakanlah sembahyang dengan betul
sempurna; dan janganlah kamu menjadi dari mana-mana
golongan orang musyrik -
- Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman ugama
mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing
serta mereka pula menjadi berpuak-puak; tiap-tiap puak
bergembira dengan apa yang ada padanya (dari fahaman dan
amalan yang terpesong itu).
- Dan apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya,
mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan
rujuk kembali bertaubat kepadaNya; kemudian apabila Allah
memberi mereka merasai sesuatu rahmat daripadaNya,
tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu
yang lain dengan Tuhannya;
- Dengan sebab itu, mereka mengingkari nikmat-nikmat
yang telah Kami berikan kepadanya. Maka (dikatakan kepada
mereka): "Bersenang-senanglah kamu (bagi sementara),
kemudian kamu akan mengetahui (balasan kederhakaan
kamu)".
- Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka (yang
musyrik itu) sebarang bukti keterangan, lalu ia
menerangkan jalan yang membolehkan mereka lakukan
perbuatan syirik itu?
- Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu
rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa
daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana
disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka
sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
- (Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa
mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah
memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya
(sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau
sebaliknya), dan Ia juga yang menyempitkannya (sebagai
ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)?
Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang membuktikan kekuasaan Allah)
bagi orang-orang yang beriman.
- Maka (bagi menyatakan sikap syukur) berikanlah
kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir
akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah
baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredaan
Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
- Dan (ketahuilah bahawa) sesuatu pemberian atau
tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya
dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali
akan kembang di sisi Allah (tidak mendatangkan kebaikan).
Dan sebaliknya sesuatu pemberian sedekah yang kamu
berikan dengan tujuan mengharapkan keredaan Allah
semata-mata, maka mereka yang melakukannya itulah
orang-orang yang beroleh pahala berganda-ganda.
- Allah jualah yang mencipta kamu; kemudian Ia
memberi rezeki kepada kamu; sesudah itu Ia mematikan
kamu; kemudian Ia menghidupkan kamu semula. Adakah di
antara makhluk-makhluk yang kamu sekutukan dengan Allah
itu sesiapa yang dapat berbuat sesuatu pun dari segala
yang tersebut? Maha Suci Allah dan Tertinggi keadaanNya
dari apa yang mereka sekutukan (denganNya).
- Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di
darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan
oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana
Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan
perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan,
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
- Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi
kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang
telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka
adalah orang-orang musyrik".
- (Jika demikian keadaannya) maka hadapkanlah dirimu
(wahai Muhammad) ke arah ugama yang betul, sebelum
datangnya dari Allah: hari yang tak dapat ditolak; pada
hari itu manusia akan berpecah (kepada dua golongan).
- Sesiapa yang kufur ingkar maka dia lah sahaja yang
menanggung bencana kekufurannya itu, dan sesiapa yang
beramal soleh (yang membuktikan imannya), maka merekalah
orang-orang yang membuat persiapan untuk kesenangan diri
mereka masing-masing;
- Kerana Allah akan membalas orang-orang yang beriman
dan beramal soleh dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Ia
tidak suka kepada orang-orang yang kufur ingkar.
- Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaanNya, bahawa Ia menghantarkan angin sebagai
pembawa berita yang mengembirakan; dan untuk merasakan
kamu sedikit dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal
belayar laju dengan perintahNya, dan juga supaya kamu
dapat mencari rezeki dari limpah kurniaNya; dan
seterusnya supaya kamu bersyukur.
- Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan
sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum
masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya
keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami
menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya);
dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami
menolong orang-orang yang beriman.
- Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu angin
itu menggerakkan awan; kemudian Allah menyebarkan awan
itu di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan
menjadikannya berkelompok-kelompok; lalu engkau melihat
hujan keluar dari celah-celahnya. Maka apabila Allah
menurunkan hujan itu mengenai sesiapa yang dikehendakiNya
dari hamba-hambanya, mereka serta merta bergembira;
- Dan sesungguhnya mereka dahulu, sebelum diturunkan
hujan kepada mereka, adalah orang-orang yang telah
berputus asa.
- Maka lihatlah olehmu kepada kesan-kesan rahmat
Allah, bagaimana Ia menghidupkan bumi sesudah matinya
(dengan tanaman-tanaman yang menghijau subur).
Sesungguhnya Allah yang demikian kekuasaanNya, sudah
tentu berkuasa menghidupkan orang-orang yang telah mati.
Dan (ingatlah) Ia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Dan demi sesungguhnya, jika Kami hantarkan angin
(menyerang tanaman) lalu mereka melihat tanaman itu
menjadi kuning kering, nescaya mereka sesudah itu, terus
kembali kufur (tidak mengenangkan nikmat-nikmat Allah
serta berputus asa).
- (Maka janganlah engkau berdukacita - wahai Muhammad
- terhadap keadaan mereka yang demikian), kerana
sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang
yang mati (hatinya) itu menerima ajaranmu, dan tidak
dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar
seruanmu, apabila mereka berpaling undur (disebabkan
keingkarannya).
- Dan engkau tidak akan dapat memberi petunjuk kepada
orang-orang yang buta (matahatinya) supaya menjauhi
kesesatan mereka; engkau tidak dapat memperdengarkan
(seruanmu itu) melainkan kepada orang-orang yang sedia
beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka
orang-orang yang menurut perintah.
- Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan
lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu
kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua
beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia
lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
- Dan semasa berlakunya hari kiamat, orang-orang yang
berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak
tinggal (di dalam kubur) melainkan sekadar satu saat
sahaja; demikianlah mereka sentiasa dipalingkan (oleh
fahaman sesatnya dari memperkatakan yang benar).
- Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang
berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya, kamu
telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah
- sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah
dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi
kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui
(kebenarannya)".
- Maka pada hari itu tidak berguna lagi bagi
orang-orang yang zalim, sebarang alasan yang mereka
kemukakan untuk melepaskan diri, dan mereka pula tidak
diberi peluang untuk memohon keredaan Allah.
- Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan
kepada umat manusia berbagai kisah dan perbandingan di
dalam Al-Quran ini; dan demi sesungguhnya jika engkau
membawa kepada mereka sebarang keterangan, sudah tentu
orang-orang kafir itu akan berkata: "Kamu ini tidak
lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan
palsu".
- Demikianlah Allah meteraikan hati orang-orang yang
tidak mahu menerima jalan mengetahui (kebenaran).
- Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad),
sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah
orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan
itu menjadikan engkau resah gelisah.