Surah As-Sajdah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha
Mengasihani.
- Alif, Laam Miim.
- Diturunkan Al-Quran ini, dengan tidak ada sebarang
syak padanya, dari Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan
sekalian alam.
- (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang
demikian) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah
(Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut
rekaannya". (Dakwaan mereka itu tidaklah benar)
bahkan Al-Quran ialah perkara yang benar dari Tuhanmu
(wahai Muhammad), supaya engkau memberi ingatan dan
amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi
sebarang pemberi ingatan dan amaran sebelummu, semoga
mereka beroleh hidayah petunjuk.
- Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta
segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa,
kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan
beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari
Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil
iktibar (untuk mencapai keredaanNya)?
- Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi
melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan
peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik
kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari
perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu
masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak
bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.
- Yang demikian sifatnya ialah Tuhan yang mengetahui
perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata; Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Mengasihani;
- Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan
sebaik-baiknya, dan dimulakanNya kejadian manusia berasal
dari tanah;
- Kemudian Ia menjadikan keturunan manusia itu dari
sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit
dipandang orang;
- Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta
meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan
kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal
fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit
kamu bersyukur.
- Dan mereka (yang kafir) itu berkata: "Adakah
apabila kami telah hilang lenyap dalam tanah, kami pula
akan hidup semula dalam bentuk kejadian yang baharu?
Betulkah demikian? " (Mereka bukan sahaja tidak
percaya tentang hidup semula) bahkan mereka tidak percaya
tentang pertemuan dengan Tuhannya.
- Katakanlah (wahai Muhammad); "Nyawa kamu akan
diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat
demikian ketika habis ajal kamu, kemudian kamu akan
dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima
balasan)".
- Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika
orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di
hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil
merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan
mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami
ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya
kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami
sekarang telah yakin".
- Dan (bagi menolak rayuan itu Allah Taala
berfirman): "Kalaulah Kami telah tetapkan persediaan
(memberikan hidayah petunjuk untuk beriman dan beramal
soleh kepada tiap-tiap seorang dengan ketiadaan usaha
dari masing-masing), nescaya Kami berikan kepada
tiap-tiap seorang akan hidayah petunjuknya (sebelum
masing-masing meninggal dunia, supaya tidak terkena azab
di akhirat); tetapi telah tetap hukuman seksa dariKu: `
Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahannam
dengan semua jin dan manusia (yang pada masa hidupnya
tidak berusaha untuk beriman dan beramal soleh)".
- (Lalu dikatakan kepada mereka: "Oleh sebab
kelalaian kamu) maka rasalah azab seksa kerana kamu
melupai pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami pun
tidak hiraukan keselamatan kamu lagi; dan (dengan yang
demikian) rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang
kamu telah kerjakan".
- Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada
ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang
apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat
itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud
(menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan
bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula
tidak bersikap sombong takbur.
- Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur,
(sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang
tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa
kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan
kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi
lagi (keredaanNya); dan mereka selalu pula mendermakan
sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka.
- Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu
persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka
(dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan
mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang
mereka telah kerjakan.
- (Jika demikian halnya) maka adakah orang yang
beriman sama seperti orang yang fasik? Mereka tidaklah
sama (dalam menerima balasan).
- Adapun orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
maka mereka akan beroleh Syurga tempat tinggal yang tetap
sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
- Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat
kediaman mereka ialah neraka; tiap-tiap kali mereka
hendak keluar dari neraka itu, mereka dikembalikan
kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: "Rasalah
azab neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia
dahulu".
- Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka
sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di
akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat.
- Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang
yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian ia
berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya);
sesungguhnya Kami tetap membalas.
- Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberi kepada
Nabi Musa Kitab Taurat (sebagaimana Kami berikan Al-Quran
kepadamu wahai Muhammad), maka janganlah engkau ragu-ragu
menyambut dan menerimanya; dan Kami jadikan Kitab Taurat
itu hidayah penunjuk bagi kaum Bani Israil.
- Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa
pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum
ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam
menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan
ayat-ayat keterangan Kami.
- (Pertentangan di antara satu golongan dengan yang
lain itu) sesungguhnya Tuhanmu sahajalah yang akan
memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat,
mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
- Dan belumkah lagi ternyata kepada mereka (yang
kafir itu): bahawa Kami telah binasakan berapa banyak
dari kaum-kaum yang kufur ingkar dahulu daripada mereka,
padahal mereka sekarang berulang-alik melalui
tempat-tempat tinggal kaum-kaum itu? Sesungguhnya
kebinasaan kaum-kaum itu mengandungi
keterangan-keterangan (untuk mengambil iktibar); oleh itu
tidakkah mereka mahu mendengar (dan insaf)?
- Dan tidakkah mereka (yang tidak mahu taat dan
bersyukur) itu melihat bahawasanya Kami mengarahkan
turunnya hujan ke bumi yang kering kontang, lalu Kami
tumbuhkan dengan air hujan itu tanaman-tanaman, yang
daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka
dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu
memerhati (semuanya itu supaya taat dan bersyukur)?
- Dan mereka bertanya: "Bilakah datangnya hari
pembukaan bicara yang dikatakan itu jika betul kamu
orang-orang yang benar?"
- Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tidak perlu
diketahui masa datangnya tetapi mesti dipercayai bahawa)
pada hari pembukaan bicara itu, tidak ada gunanya lagi
kepada orang-orang kafir kiranya mereka hendak beriman,
dan mereka pula tidak akan diberi tempoh (berbuat
demikian)".
- Oleh itu, janganlah engkau hiraukan mereka, dan
tunggulah (kesudahan mereka), sesungguhnya mereka pun
menunggu (kesudahanmu).