Surah Al-Ahzab
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Wahai Nabi! Tetaplah bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak
orang-orang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi
Maha Bijaksana.
- Dan turutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah
menurut adat resam Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan.
- Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang
lain), kerana cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
- (Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak
sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak
menjadikan isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga
tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu
dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut
kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke
jalan yang betul.
- Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan
kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada
itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai
saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan kamu pula
tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira
berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Nabi itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman
daripada diri mereka sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan
orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak (mewarisi) akan
setengahnya yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah - daripada orang-orang yang beriman
dan orang-orang Muhajirin (yang bukan kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik
kepada sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis dalam Kitab
Allah.
- (Teruslah bertaqwa kepada Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari
Nabi-nabi (umumnya): perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai
Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta. Nabi Isa ibni
Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian setia yang teguh (bagi
menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada mereka);
- (Tuhan berbuat demikian) supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang
kebenaran iman mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan (sebaliknya) Ia
telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
- Wahai orang-orang yang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya
kepada kamu. Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka
angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat
melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.
- Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari
sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu
tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana
cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai
sangkaan.
- Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan
pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.
- Dan lagi masa itu ialah masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat
dan tidak kuat iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan
kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja".
- Dan juga masa itu ialah masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai
penduduk Yathrib, tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu
baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi (hendak balik)
sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan", pada
hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari
berjuang menegakkan Islam).
- Dan kalaulah tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala
penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam, sudah tentu mereka
akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi tentang itu melainkan sebentar sahaja.
- Pada hal sesungguhnya mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu,
iaitu mereka tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan
(ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang penyempurnaannya).
- Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau
dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah
kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan
menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja".
- Katakanlah: "Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia
mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan
Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah) mereka (yang
munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - yang
akan menjadi pelindung atau penolong mereka.
- Sesungguhnya Allah mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di
antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah bersatu
dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar sahaja.
- Mereka bersikap bakhil kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk
memberikan sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang
menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai Muhammad, meminta
pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar seperti orang yang pengsan semasa
hampir mati. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah
yang tajam, sambil mereka tamakan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu
tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah
bagi Allah melaksanakannya.
- Mereka menyangka bahawa tentera "Al-Ahzaab" itu
belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab datang semula, tentulah mereka suka kalau
mereka tinggal jauh di desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan
berita mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika itu), mereka
tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.
- Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari
akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan
senang)
- Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah
mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah
(apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang
mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan
iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
- Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa
yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara
mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di
antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka
janjikan itu) sedikitpun.
- (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang
yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia
kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.
- Dan Allah telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu
(ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana gagal dan hampa),
mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah selamatkan orang-orang yang beriman
dari bencana menghadapi peperangan itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha
Kuasa.
- Dan Ia menurunkan golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang
membantu tentera musuh itu, dari benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah
diisikanNya hati mereka dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan
(hukuman); sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
- Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda
mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan
(ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan
kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah supaya aku
berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku lepaskan kamu dengan cara yang
sebaik-baiknya.
- "Dan sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat
kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi orang-orang yang
berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".
- Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan
keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan (hukuman)
yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
- Dan sesiapa di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta
mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu dua kali ganda,
dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
- Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang
lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja
(semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan
orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya
berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
- Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri
seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang
serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah
(perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara
yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
- Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah
(Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah). Sesungguhnya Allah Maha Halus
tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
- Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang
perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang
beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan
orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang
lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang
merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada
Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang
bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang
berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan
yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah
banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah
telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
- Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila
Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka)
mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak
taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan
yang jelas nyata.
- Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada
orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah
berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah kepada
Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan
menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia padahal Allah jualah yang
berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis
kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya
supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan
isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis
kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang
dikehendaki Allah itu tetap berlaku.
- Tidaklah ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan
perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah menurut peraturan
Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi yang telah lalu. Dan (ingatlah)
perintah Allah itu adalah satu ketetapan yang ditentukan berlakunya.
- (Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah
serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun
melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh
makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).
- Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya)
menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul
Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan
tiap-tiap sesuatu.
- Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta
sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
- Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
- Dia lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu)
- untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang
terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada
orang-orang yang beriman (di dunia dan di akhirat).
- Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah
ucapan "Salam" (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka pahala
balasan yang mulia.
- Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan
pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada
orang-orang yang ingkar).
- Dan juga sebagai penyeru (umat manusia seluruhnya) kepada ugama Allah dengan
taufiq yang diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi.
- Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang
beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.
- Dan janganlah engkau menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik
dan janganlah engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada Allah
(memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang menyelamatkanmu).
- Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan
yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu
berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu,
berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka
dengan cara yang sebaik-baiknya.
- Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu
isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau
miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami
telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa
saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah
bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan
emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu; dan (Kami
telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang memberikan dirinya kepada
Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin
dengannya; perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang
yang beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami wajibkan kepada
orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan hamba-hamba perempuan yang mereka
miliki; - supaya tidak menjadi keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau
boleh mendamping: sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak
mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka tidaklah menjadi salah
bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka)
adalah lebih dekat untuk mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak
berdukacita, serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada mereka
semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada dalam hati kamu; dan Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
- Tidak halal bagimu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah
(isteri-isterimu yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan
isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada kecantikan mereka, kecuali
hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi
tiap-tiap sesuatu.
- Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu
makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan,
bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah
(pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah kamu makan maka hendaklah masing-masing
bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang
demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak menyatakan hal
itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu
meminta sesuatu yang harus diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka
dari sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu
tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh berkahwin dengan
isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya. Sesungguhnya segala yang tersebut itu
adalah amat besar dosanya di sisi Allah.
- (Awasilah keadaan-keadaan kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu
sembunyikan dia, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.
- Tidak ada salahnya kepada perempuan-perempuan (yang tidak
berpakaian yang melindungi anggota yang haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui
bapa-bapa mereka, dan anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan
anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki saudara-saudara
perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka, serta hamba-hamba yang dimiliki
oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan
tiap-tiap sesuatu.
- Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan
kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu
kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.
- Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan
RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka
azab seksa yang menghina.
- Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman
dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat
dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul
kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.
- Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu
serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh
tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal
(sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah)
Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada penyakit
(syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di
Madinah itu tidak berhenti (dari perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan
mendesakmu memerangi mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di
Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,
- serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap
dan dibunuh habis-habisan.
- Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan
Allah yang telah lalu; dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi
"Sunnatullah" itu.
- Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat;
katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah. "
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.
- Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka
api neraka yang marak menjulang, -
- kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; mereka pula tidak akan memperoleh
sesiapapun yang akan menjadi pelindung atau penolong.
- Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan
sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah
serta taat kepada Rasul Allah.
- Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi
kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan
yang benar.
- "Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan
laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!"
- Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang
(Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang
mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.
- Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan
yang tepat - benar (dalam segala perkara),
- Supaya Ia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan
mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya,
maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
- Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan
bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang
tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya);
dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.
(Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka
pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
- (Dengan kesanggupan manusia memikul amanah itu maka) akibatnya
Allah akan menyeksa orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang
munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan yang musyrik; dan
juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang
perempuan yang beriman. Dan sememangnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.