Surah Al-Ma'idah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.
Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang
akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan
sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam
keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.
- Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati
mengenai syiar-syiar ugama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai
binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong
binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang
bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari
keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai
dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu
kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu
menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa,
dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan
bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa
yang melanggar perintahNya).
- Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak
disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan
binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan
yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk,
dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis
nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung
nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada
hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu
(setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut
dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari
ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada
kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa
kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak
melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
- Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan
bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang
lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang
telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu
mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah
kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama
Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan
memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat
hitungan hisabNya"
- Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta
baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi
kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi
makan kepada mereka). Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang
menjaga kehormatannya - di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga
perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan
Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara
yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi
perempuan-perempuan simpanan. Dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia
beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat
kelak dari orang-orang yang rugi.
- Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang
(padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua
belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah
kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka
bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam
pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh
perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu
bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah
tangan kamu dengan tanah - debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu
kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak
menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
- Dan kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya) kepada kamu serta ingatlah
perjanjianNya yang telah diikatNya dengan kamu, ketika kamu berkata: "Kami dengar dan
kami taat (akan perintah-perintah Allah dan RasulNya)" Dan bertaqwalah kamu kepada
Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam
dada.
- Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa
menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan
jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak
melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu
lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
- Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal
soleh, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
- Dan orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat Kami (Al-Quran), merekalah
ahli neraka.
- Wahai orang-orang yang beriman, kenanglah nikmat Allah (yang telah dikurniakanNya)
kepada kamu ketika kaum (kafir yang memusuhi kamu) hendak menghulurkan tangannya (untuk
menyerang kamu), lalu Allah menahan tangan mereka daripada (menyerang) kamu. Oleh itu,
bertaqwalah kamu kepada Allah; dan kepada Allah jualah (sesudah bertaqwa itu) hendaklah
orang-orang yang beriman berserah diri.
- Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia
Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami
telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan
masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu
(memerhati segala-galanya). Demi sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu
tunaikan zakat, dan kamu beriman dengan segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu
mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan
berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman yang baik (bukan kerana riak dan mencari
keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan
kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Oleh itu, sesiapa yang
kufur ingkar di antara kamu sesudah yang demikian, maka sesungguhnya sesatlah ia dari
jalan yang betul"
- Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknatkan mereka,
dan Kami jadikan hati mereka keras membatu (tidak mahu menerima kebenaran). Mereka
sentiasa mengubah Kalimah-kalimah (yang ada di dalam kitab Taurat dengan memutarnya) dari
tempat-tempatnya (dan maksudnya) yang sebenar, dan mereka melupakan (meninggalkan)
sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka mereka dengannya. Dan engkau (wahai
Muhammad) sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit
dari mereka (yang tidak berlaku khianat). Oleh itu, maafkanlah mereka (jika mereka sedia
bertaubat) dan janganlah dihiraukan, kerana sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang
yang berusaha supaya baik amalannya.
- Dan di antara orang-orang yang berkata:" Bahawa kami ini orang-orang
Nasrani", Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, maka mereka juga
melupakan (meninggalkan) sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya, lalu
Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, sampai ke hari kiamat;
dan Allah akan memberitahu mereka dengan apa yang telah mereka kerjakan.
- Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul
Kami (Muhammad, s.a.w) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan
dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu
(dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah
datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab
(Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
- Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta
kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan
mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan
izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
- Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah
ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar)
kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu
membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi
semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan
segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: "Kami adalah
anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya". Katakanlah (wahai Muhammad):
"(Kalau betul demikian), maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa
kamu? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah
manusia biasa di antara manusia-manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi
sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya), demikian juga Ia
menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan
langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat
kembali"
- Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul
kami (Muhammad, s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika
terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan
berkata (pada hari kiamat): "Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa
berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami)". Kerana sesungguhnya
telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran.
Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:
"Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia
menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka
(setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu
barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa
itu)".
- (Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin)
yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik
undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di
dunia dan di akhirat)".
- Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah
perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya;
kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri
itu)".
- Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan),
lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: "Seranglah mereka
melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang
yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak
menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman"
- Mereka (menolak dengan) berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan
memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu
pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk
menunggu".
- Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: "Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku
tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu
pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu".
- Allah berfirman: "Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka
memasukinya - selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di
sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita
terhadap kaum yang fasik itu".
- Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai)
dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka
berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah).
Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari
yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):" Sesungguhnya aku akan membunuhmu!". (Habil)
menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa;
- "Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku,
aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana
sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam;
- "Sesungguhnya aku mahu supaya engkau kembali dengan (membawa) dosa
(membunuhku) dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari ahli neraka, dan
itulah dia balasan orang-orang yang zalim".Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya
(sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya, lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia
dari golongan orang-orang yang rugi.
- Maka nafsu jahat (Qabil) mendorongnya (sehingga ia tergamak) membunuh saudaranya,
lalu ia membunuhnya. Oleh itu menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
- Kemudian Allah hantarkan seekor burung gagak (menyuruhnya) mengorek-ngorek di bumi
supaya, diperlihatkan kepada (Qabil) bagaimana cara menimbus mayat saudaranya. (Qabil)
berkata: "Wahai celakanya aku! Alangkah lemah serta bodohnya aku, aku tidak tahu
berbuat seperti burung gagak ini, supaya aku dapat menimbuskan mayat saudaraku?".
Kerana itu menjadilah ia dari golongan orang-orang yang menyesal.
- Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani
Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang
membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka
seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan
hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia
semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan
membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka
sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan
kerosakan) di muka bumi.
- Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan
bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja
dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong
tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri
(kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu
kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat
besar.
- Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat
menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh
menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan
berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.
- Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka
mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka
menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu tidak
akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
- Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak
sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.
- Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya)
potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan,
(juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi
Maha Bijaksana.
- Maka sesiapa yang bertaubat sesudah ia melakukan kejahatan
(curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
- Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan
langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum
SyariatNya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum
SyariatNya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
- Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang
yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan
mulutnya: "Kami tetap beriman", padahal hatinya tidak beriman; demikian juga
dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita
dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) yang
tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan
(dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: "Jika
disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak
disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik". Dan sesiapa yang
dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu
apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu
membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka
beroleh azab seksa yang besar.
- Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka
memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu,
maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau
berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan
dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka
dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
- Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu,
padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka
berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah
orang-orang yang beriman.
- Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan
cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah)
menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan
pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan
menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi
penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada
manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat
dan patuh akan perintahKu); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayatKu dengan
harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan
sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana
mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
- Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas
dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga
dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas
(seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah ia penebus
dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah,
maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
- Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi
Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah
berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang
menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat,
serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.
- Dan hendaklah Ahli Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah di dalamnya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
- Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran)
dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah
diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di
antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan
janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang
telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami
jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).
Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama
yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan
kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh).
Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang
kamu berselisihan padanya.
- Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah
diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan
berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan
oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu),
maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari
dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang
yang fasik.
- Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah?
Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat
hukum yang lebih pada daripada Allah.
- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan
Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada
setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya,
maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak
memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
- Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya
segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata:
"Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan
mereka)". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat
Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik
itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam
hatinya.
- Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata:
"Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar
sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?" Telah gugurlah
amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang yang rugi.
- Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari
ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka
dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang
beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan
bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang
mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa
yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi
PengetahuanNya.
- Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang
beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk
menjunjung perintah Allah).
- Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu
penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada
ugama) Allah, itulah yang tetap menang.
- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang
menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah
diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi
penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
- Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan
sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka
suatu kaum yang tidak berakal.
- Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak
mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada
apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu, dan
kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik".
- Katakanlah: "Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk
balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh
Allah dan dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan
babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih
sesat dari jalan yang betul".
- Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi atau munafik itu) datang kepada kamu,
mereka berkata: "Kami telah beriman". Padahal sesungguhnya mereka itu masuk
menemui kamu dengan kekufurannya, dan sesungguhnya mereka keluar (dari sisi kamu) dengan
kekufurannya juga; dan (hendaklah mereka ingat), Allah lebih mengetahui akan apa yang
mereka sembunyikan.
- Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan
pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka
telah lakukan.
- Alangkah baiknya kalau ketua-ketua ugama dan pendita-pendita mereka melarang
mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram?
Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.
- Dan orang-orang Yahudi itu berkata: "Tangan Allah terbelenggu (bakhil -
kikir)", tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa
yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan
kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki;
dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan
kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan
dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api
peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka
bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.
- Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa tentulah Kami
akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan
mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.
- Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan
perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari
Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit)
dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan
dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.
- Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu;
dan jika engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah
engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan)
manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang kafir.
- Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu ugama
sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya
kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu
Al-Quran)" Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari
Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu
janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.
- Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang
Saabiein, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada
Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat
serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak
baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.
- Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami
telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang - seorang
Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka
dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.
- Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka
membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu
kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha
Melihat akan apa yang mereka lakukan.
- Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya
Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani
Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan
Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan
tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang
berlaku zalim".
- Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah
ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan
itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang
tidak terperi sakitnya.
- Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan
memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan
mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
- Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang
telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya seorang perempuan yang amat
benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami
jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan
kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka
dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu).
- Katakanlah (wahai Muhammad): "Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari
Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi
manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".
- Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau
dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum
yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang)
mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul"
- Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab
Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu
disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
- Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar
(derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang
mereka telah lakukan.
- Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman
rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka
(pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap
kekal di dalam azab (neraka).
- Sekirany mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan
kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan
tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik.
- Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali
permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang
musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih
mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: "Bahawa kami
ini ialah orang-orang Nasrani" yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka
pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.
- Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad,
s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui
(melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: "Wahai Tuhan
kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah
kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad
s.a.w).
- "Dan tidak ada sebab bagi kami tidak beriman kepada Allah dan kepada
kebenaran (Al-Quran) yang sampai kepada kami, padahal kami ingin (dengan sepenuh-penuh
harapan), supaya Tuhan kami memasukkan kami (ke dalam Syurga) bersama-sama orang-orang
yang soleh"
- Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan (pengakuan iman yang ikhlas)
yang telah mereka ucapkan, (iaitu mereka dibalas dengan) Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai; mereka pula tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian itu, adalah
balasan orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
- Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir serta mendustakan ayat-ayat keterangan
Kami, mereka itulah ahli neraka.
- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik
yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa
yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang melampaui batas.
- Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal
lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
- Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak
disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah
yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi
makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan
kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.
Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia
berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu
bersumpah. Dan jagalah - peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada
kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum ugamaNya) supaya kamu bersyukur.
- Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan
judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah
(semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya
kamu berjaya.
- Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan
kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada
mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti
(daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?
- Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah
(janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan RasulNya). Oleh itu, jika kamu berpaling
(enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah, bahawa sesungguhnya
kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.
- Tidak ada dosa bagi orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal yang soleh
pada apa yang telah mereka makan dahulu, apabila mereka bertaqwa dan beriman serta
mengerjakan amal yang soleh, kemudian mereka tetap bertaqwa dan beriman, kemudian mereka
tetap bertaqwa dan berbuat kebajikan; kerana Allah mengasihi orang-orang yang berusaha
memperbaiki amalannya.
- Wahai orang-orang yang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa
kamu berihram) dengan sesuatu dari binatang buruan yang mudah ditangkap oleh tangan kamu
dan (mudah terkena) tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah ketahui wujudnya sesiapa
yang takut kepadaNya semasa ia tidak melihatNya semasa ia tidak dilihat orang. Oleh itu,
sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian maka baginya azab yang tidak terperi
sakitnya.
- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh
binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang
membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama
dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil
di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan
dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kaffarah, iaitu memberi makan
orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang
miskin; supaya dapat ia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang
telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan
(ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.
- Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut,
sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang
dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu
sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.
- Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia
(untuk menjalankan ibadat dan hal-hal hidup), demikian juga bulan-bulan yang mulia, dan
binatang-binatang korban, dan kalong-kalong binatang korban itu. Yang demikian itu, supaya
kamu ketahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan apa yang ada
di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
- Ketahuilah oleh kamu, bahawasanya Allah Maha berat azab
seksaNya (kepada orang yang kufur dan derhaka), dan bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi
Maha Mengasihani (bagi orang yang mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya).
- Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan
(perintah-perintah Allah) sahaja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan
apa yang kamu sembunyikan.
- Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik,
walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai
orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.
- Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan
(kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan
jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan
kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang
tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.
- Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi
mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab
pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).
- Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa'ibah, tidak juga
Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan
perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya
- Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah
diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka
menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami
mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak
mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk?
- Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu
yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada
kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah
dan meninggalkan laranganNya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian
Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.
- Wahai orang-orang yang beriman! Apabila salah seorang di
antara kamu hampir mati, ketika (ia mahu) berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan
oleh dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seugama) dengan
kamu, jika kamu dalam pelayaran di muka bumi lalu kamu ditimpa bencana sakit yang membawa
maut. Kalau kamu ragu-ragu tentang kejujuran kedua saksi itu, hendaklah) kamu tahan mereka
sesudah selesai sembahyang, kemudian mereka (disuruh) bersumpah dengan nama Allah (dengan
berkata: "Demi Allah) kami tidak akan menjual sumpah kami untuk mendapat sesuatu
harta benda, walaupun orang itu dari kaum kerabat, dan kami tidak menyembunyikan
(keterangan yang kami ketahui) sebagai saksi (sebagaimana yang diperintahkan oleh) Allah,
(kerana jika kami menyembunyikannya) tentulah kami dengan itu termasuk dalam golongan
orang-orang yang berdosa".
- Kemudian jika didapati bahawa kedua saksi itu (sesudah bersumpah) ada melakukan
dosa (kerana berdusta atau mengkhianati dalam perkara yang mereka menjadi saksi itu), maka
hendaklah dua orang yang lain menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati lebih
dekat, yang lebih berhak (menuntut dan memberi keterangan yang sebenarnya), kemudian
mereka bersumpah dengan nama Allah (dengan berkata): "Demi sesungguhnya, persaksian
kami lebih berhak diterima daripada persaksian kedua saksi itu (yang telah nyata
berdusta), dan kami tidak melampaui batas, (kerana jika kami berbuat demikian) tentulah
kami dengan itu termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.
- (Hukum-hukum dan peraturan menjadi saksi) yang tersebut itu adalah jalan yang
lebih dekat untuk mereka memberi keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau
untuk mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka (kepada waris-waris si mati) sesudah
mereka bersumpah (yang akan mendedahkan kecurangan mereka). Oleh itu bertaqwalah kepada
Allah, dan dengarlah dengan patuh (segala perintahNya), dan (ingatlah) Allah tidak memberi
hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
- (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu
bertanya: "Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu (oleh umat-umat kamu dahulu,
ketika kamu menyampaikan seruan ugama Allah)?" Rasul-rasul itu menjawab: "Tidak
ada bagi kami pengetahuan yang sah tentang itu, (pengetahuan yang tepat adalah tertentu
bagiMu), kerana sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Mengetahui akan segala perkara
yang ghaib"
- (Ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmatKu
kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu
engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan
sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat
pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan
dari tanah seperti bentuk burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu
menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang
buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang
yang mati dengan izinKu; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada
membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan
(mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: "Bahawa ini
hanyalah sihir yang terang nyata"
- Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat
karib nabi Isa): "Berimanlah kamu kepadaku dan kepada RasulKu!" Mereka menjawab:
"Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam
(yang menyerah diri kepada Allah)"
- Dan (ingatlah) ketika orang orang Hawariyyiin berkata: "Wahai Isa Ibni
Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami satu hidangan dari
langit?" Nabi Isa menjawab: "Bertaqwalah kamu kepada Allah jika benar kamu
orang-orang yang beriman".
- Mereka berkata: "Kami hanya ingin hendak makan dari hidangan itu (untuk
mengambil berkat), dan supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami ketahui
dengan yakin, bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya
menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri"
- Isa ibni Maryam (pun berdoalah ke hadrat Allah dengan) berkata: Ya Allah, Tuhan
kami! Turunkanlah kiranya kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya
bagi kami, iaitu bagi kami yang ada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang
kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) daripadamu (yang menunjukkan kebesaran dan
kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik
Pemberi rezeki".
- Allah berfirman: "Sesungguhnya Aku akan menurunkan hidangan itu
berulang-ulang kepada kamu, kemudian sesiapa di antara kamu kufur ingkar sesudah (turunnya
hidangan itu), maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak
pernah Aku seksakan seseorang pun dari sekalian makhluk".
- Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang
berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ' "
Nabi `Isa menjawab: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan
sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah
Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak
mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha
Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.
- "Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan
kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ' dan
adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan
yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan
tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang
menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.
- "Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang
menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau
mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana"
- Allah berfirman: "Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar
(pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka
beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya
selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang
amat besar".
- Allah jualah yang menguasai alam langit dan bumi serta segala yang ada padanya;
dan Dia lah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.