Surah At-Talaaq
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri
(kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah
masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu
mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah
pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan
keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya);
dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku
zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh
jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).
- Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh idahnya, maka
bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan
cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu (semasa kamu
merujukkan atau melepaskannya); dan hendaklah kamu (yang menjadi saksi) menyempurnakan
persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi
peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan
sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang
menyusahkannya),
- Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan
(Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya
(untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara
yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap
sesuatu.
- Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari
kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh idah mereka) maka idahnya ialah
tiga bulan; dan (demikian) juga idah perempuan-perempuan yang tidak berhaid. Dan
perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang
dikandungnya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan
baginya segala urusannya.
- Peraturan-peraturan yang demikian adalah hukum-hukum Allah yang diturunkan dan
diterangkanNya kepada kamu; dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya
Allah menghapuskan kesalahan-kesalahannya, dan akan membesarkan pahala balasannya.
- Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di
tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang
menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka
(supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang
mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang
dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada
mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang
baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah
perempuan lain menyusukannya.
- Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang
di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah
kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar
kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah
ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.
- Dan bukan sedikit negeri-negeri yang penduduknya menderhaka terhadap perintah
Tuhan mereka dan Rasul-rasulNya, maka Kami hitung amal mereka satu persatu dengan hitungan
yang keras rapi, serta Kami seksakan mereka dengan azab yang tidak pernah dikenal
dahsyatnya.
- Lalu mereka merasai kesan yang buruk dari perbuatan derhakanya, dan menjadilah
akibat perbuatan mereka satu kerugian yang besar.
- Allah menyediakan bagi mereka azab seksa yang seberat-beratnya. Maka bertaqwalah
kepada Allah kepada wahai orang yang berakal sempurna dari kalangan orang yang beriman.
Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu peringatan -
- (Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada
kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang-orang
(yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh - dari gelap-gelita (kesesatan)
kepada cahaya (hidayah petunjuk). Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah dan
beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya
beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan
yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian.
- Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu;
perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang
demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.