Surah Al-Jinn
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya:
satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan
hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran
(sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!
- `Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan
kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.
- `Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa
sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau
beranak.
- `Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang
akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang
melampaui kebenaran;
- `Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan
jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.
- `Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari
manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua
golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah
sombong dan jahat.
- `Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu
sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan
membangkitkan manusia pada hari kiamat).
- `Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami
dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan
rejaman-rejaman) api yang menyala.
- `Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di
langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba
mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.
- `Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan
langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan
mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?
- `Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik
keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut
jalan dan cara yang berlainan.
- `Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali
akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi,
dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit
sekalipun).
- `Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman
kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya,
maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan
juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.
- `Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita
golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan)
menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan
taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang
benar,
- ` Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi
bahan bakaran bagi neraka Jahannam. '
- (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): "Dan bahawa sesungguhnya!
Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu
Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat
kepada mereka.
- "(Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan
keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan
tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati
Tuhannya, (dengan berlaku ingkar - derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab
yang memuncak beratnya.
- "Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah
semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.
- "Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri
mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain
mengerumuninya".
- Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada
Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun".
- Katakanlah lagi; " Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang
mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.
- Katakanlah lagi; "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi
perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku
tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,
- "(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan
perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang
menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan
baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.".
- (Golongan yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong
wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka,
maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah
penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.
- (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: "Aku tidak mengetahui sama
ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi
kedatangannya satu tempoh yang lanjut.
- "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu
perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, -
- "Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui
sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak
melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu
malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai
kepada yang berkenaan).
- "(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Ia mengetahui bahawa
sesungguhnya - (dengan jagaan mereka) - Rasul-rasul itu telah menyampaikan
perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Ia memang mengetahui dengan
meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu
persatu".