Surah Al-Insan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang
ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka
mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?
- Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani
yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan
kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.
- Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan
kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka
terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku
kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
- (Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku
kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.
- Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum
dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", -
- Iaitu sebuah matair (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba Allah
(yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal mereka) dengan aliran
yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.
- (Mereka dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya (apatah
lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan hari (akhirat) yang azab
seksanya merebak di sana sini.
- Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan
disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,
- (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi
makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan
dari kamu atau ucapan terima kasih,
- "Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang
padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut".
- Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka
dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan
yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati).
- Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan
laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera.
- Mereka berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa panasnya), dan tidak
juga merasai suasana yang terlampau sejuk;
- Sedang naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka, dan buah-buahannya pula
dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya.
- Dan (selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): bijana dari
perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak jelas isinya)
- (Keadaannya laksana) kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan
kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya.
- Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari
"Zanjabil",
- Iaitu sebuah matair dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai
"Salsabil".
- Dan mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap
kekal (dalam keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila engkau
melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara yang bertaburan.
- Dan apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat nikmat yang
melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada bandingannya).
- Mereka di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan
sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak;
dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih
suci.
- (Serta dikatakan kepada mereka): "Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah
untuk kamu sebagai balasan, dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu) diterima dan
dihargai (oleh Allah)".
- Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad), dengan
beransur-ansur.
- Oleh itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada
golongan yang menentangmu), dan janganlah engkau menurut kehendak orang yang berdosa di
antara mereka, atau orang yang kufur ingkar.
- Dan sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan di luar
sembahyang), pada waktu pagi dan petang;
- Dan (dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah kepada
Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang), dan (seboleh-bolehnya) bertasbihlah memujiNya
(dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.
- Sesungguhnya orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan
kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak menghiraukan
bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat (penderitaannya kepada orang-orang yang tidak
bertaqwa).
- Kamilah yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf
mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki, Kami gantikan
(mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka, dengan penggantian yang
sebaik-baiknya.
- Sesungguhnya (segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka
sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah ia mengambil jalan yang menyampaikan
kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat).
- Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara
yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana
(mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
- Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke
dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia
menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.