Surah Al-Takwiir
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
- Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);
- Dan apabila bintang-bintang gugur berselerak;
- Dan apabila gunung-ganang di terbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi
debu);
- Dan apabila unta-unta yang bunting terbiar;
- Dan apabila binatang-binatang liar dihimpunkan;
- Dan apabila lautan meluap-luap bercampur-baur;
- Dan apabila tiap-tiap diri disatukan dengan pasangannya;
- Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya,
- Dengan dosa apakah ia dibunuh?
- Dan apabila surat-surat amal dibentangkan;
- Dan apabila langit ditanggalkan dari tempatnya;
- Dan apabila neraka dinyalakan menjulang;
- Dan apabila Syurga didekatkan;
- (Setelah semuanya itu berlaku), tiap-tiap orang akan mengetahui tentang amal yang
telah dibawanya.
- Oleh itu, Aku bersumpah dengan bintang-bintang yang tenggelam timbul;
- Yang beredar, juga yang tetap pada tempatnya;
- Dan malam, apabila ia hampir habis,
- Dan siang, apabila ia mulai terang;
- Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril)
Utusan yang mulia,
- Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy,
- Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.
- Dan sebenarnya sahabat kamu (Nabi Muhammad) itu (wahai golongan yang menentang
Islam), bukanlah ia seorang gila (seperti yang kamu tuduh);
- Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan,
kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit
yang nyata.
- Dan bukanlah Nabi Muhammad seorang yang boleh dituduh dan disangka buruk, terhadap
penyampaiannya mengenai perkara-perkara yang ghaib.
- Dan sebenarnya Al-Quran itu bukanlah perkataan Syaitan yang kena rejam.
- (Dengan yang demikian) maka ke manakah kamu hendak pergi (kiranya kamu masih
menyeleweng dari jalan Al-Quran)?
- Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan bagi seluruh penduduk alam:
- Iaitu bagi sesiapa dari kamu yang mahu tetap teguh di atas jalan (Islam) yang
betul.
- Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali
dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam.