Mempertikai Gejala Derma Untuk Masjid
Oleh Zukri Valenteno
Saya merasa sedih kerana segelintir rakyat kita secara tidak
sedar sedang menyumbang untuk tujuan yang kononnya sebagai
membina masjid di serata tanah air saban hari.
Pemungut derma ini akan melawati rumah-rumah kediaman, stesen
bas, tempat kunjungan ramai, restoran gerai warung, malahan
pejabat kita untuk memenohi kantong mereka - semuanya atas sebab
membina rumah Allah.
Berbekalkan sepucuk "surat niat" (yang biasanya
diwarnakan) dan sekeping gambar masjid yang kelihatan sedang
dalam pembinaan, mereka yang tidak merasa apa-apa meminta
sumbangan terus daripada penderma.
Mengambil peluang di atas kemurahan hati rakyat Malysia,
khususnya kita kaum Melayu yang beragama Islam, misi mereka
ternyata berjaya. Pada hujung minggu yang lepas, saya
berkesempatan menyaksikan perkara ini berlaku di tiga buah
restoran dan satu lagi di hadapan rumah saya di Taman Sri Gombak.
Kesemua mereka memberi salam menghulurkan surat, gambar dan
senarai kutipan siap dengan tandatangan penderma untuk tujuan
itu. Dan, kemudiannya mereka menunggu derma kerana yang dijangka
akan tiba jua!
Mereka nampaknya amat yakin dengan sumbangan orang ramai kerana
selepas sahaja menghulur sekeping surat niat itu dan gambar
masjidnya, mereka bersedia untuk menerima sumbangan. Mungkin
selama ini tiada masalah dihadapi ekoran kemurahan hati rakyat
kita.
Yang peliknya semua penderma, saya lihat, tidak pula bertanya
apa-apa soalan daripada pemungut derma itu, lantas terus ke saku
dan mengeluarkan wang untuk berderma tanpa banyak soal.
Apabila sampai ke meja saya, saya bertanyakan mengapa derma perlu
dikutip sedangkan membina masjid adalah tanggungjawab kerajaan
yang memerintah.
Pembinaan
Jawabnya "saya tak tahu bang, saya hanya mengutip derma.
Kalau abang nak tahu lebih lanjut semuanya ada di sini (di
sekeping surat niat dan gambar apa yang kelihatan seperti masjid
yang sedang dalam pembinaan)".
Apabila saya meminta surat tauliah atau surat kebenaran, jawabnya
ialah "untuk kerja Allah, kita tidak perlu surat daripada
sesiapa, memadai kalau niat kita ikhlas dan Allah tahu dan nampak
apa yang kita buat!"
Saya katakan kepadanya bahawa saya tidak boleh menderma walaupun
mungkin benar derma berkenaan untuk pembinaan masjid kerana saya
katakan kepadanya, dengan derma saya, sayakan akan galakkan
pertumbuhan apa yang disifatkan sebagai tempat ibadat (kalau
benarlah tujuannya sedemikian) yang tidak dapat pengiktirafan
pihak berkuasa agama di negara ini.
Jawabnya ialah "tak mengapa, kalau abang tak mahu bagi,
ramai lagi yang sudi dan mereka akan mendapat pahala kerana
berbuat demikian." Saya menambah bagaimana saya hendak tahu
kalau derma saya benar-benar sampai kepada sasaran.
Jawab orang itu ialah "tak perlu risau kerana niat kami
(para pemungut derma) ikhlas dan jelas dan Allah nampak apa yang
kami buat".
Beberapa saat berikutnya, pemungut itu pergi ke meja lain untuk
mengulangi perbuatannya dan mereka yang berada di meja berhenti
menjamu selera dan kelihatan tidak mempunyai masalah untuk
menderma. Rakyat Malaysilah katakan.
Saya dapati (kalaulah kutipan derma itu palsu) kaum Melayu di
negara ini memang mudah diterpedaya, apatah lagi apabila orang
yang bertudung atau berketayap (berkopiah putih) datang memungut
derma di hadapan kita.
Saya dapati memang mudah untuk melemahkan perasaan kita apabila
perkataan rumah Allah, ibadat, fardu kifayah, rumah anak yatim
dan pelbagai lagi justifikasi diutarakan untuk menghalalkan
tindakan mereka dan untuk mendapat simpati.
Dan kita kaum Melayu memang mudah percaya dengan para pemungut
ini tanpa sebarang rasa curiga dan syak wasangka, tidak kiralah
kalau sipemungut itu tidak bagitu fasih berbahas Melayu atau rupa
parasnya tidak lansung membayangkan bahawa mereka itu rakyat
negara ini. Cukup dengan perkataan-perkataan yang saya katakan
tadi yang dimulai dengan salam (yang kadangkalanya tidak lancar),
duit pun bertukar tangan.
Pungutan
Dan yang menjadi pelik kepada saya ialah saban hari atau saban
kali, pungutan derma ini hanyalah untuk membina masjid di
negeri-negeri seperti Kedah, Perlis dan Kelantan dan tidak di
negeri-negeri lain?
Apakah keperluan itu di negeri-negeri lain ataupun fenomena ini
hanya sinonim dengan negeri-negeri yang dinyatakan itu?
Setahu saya pembinaan masjid, surau dan madrasah serta tadika
Islam adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri atau pun sudah
ada perkembangan terbaharu (di negeri-negeri berkenaan) ataupun
perubahan dasar kerajaan-kerajaan negeri itu yang memaksa
pembinaan rumah ibadat agama Islam kita kini dibebankan kepada
individu dan tidak lagi kerajaan?
Kadangkala kita juga berdepan dengan "keperluan" untuk
membina masjid, surau atau madrasah di kawasan-kawasan selatan
Thai, selatan Filipina dan India mahupun Pakistan. Kutipan untuk
yang dukatakan masjid-masjid di luar negara ini sering kali
dilakukan dengan meletak tabung kutipan di kaunter bayaran
restoran India Muslim dan kedai runcit India Muslim. Biasnya para
pelanggan akan memasukkan duit siling ataupun duit kertas selepas
melunaskan bayaran kepada perkhidmatan yang disediakan.
Apakah ini benar atau (barang dijauhi Allah s.w.t.) ini hanya
taktik tertentu mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mencari
rezeki secara memainkan sentimen keagamaan dikalangan kita?
Saya sering kali bertanya andaikata tanggungjawab membina rumah
ibadat adalah dalam bidang kuasa kerajaan mengapa perlu individu
atau persatuan-persatuan tertentu pula hendak membina masjid,
surau atau madrasah secara bersendirian jika tujuannya tidak lain
adalah untuk "memiliki"nya secara persendirian,
lantasnya tidak akan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa
agama Islam di negara ini.