Kita dan Al-Quran
oleh Haizam
Al-Quran merupakan kitab petunjuk bagi setiap insan yang
bertaqwa, disamping itu, ianya juga merupakan sumber rujukan
terhadap pembentukan tamadun dan kehidupan ini, baik di dunia dan
insyallah di akhirat. Kewujudannya bermula sejak zaman baginda
Rasul saw dahulu. Semoga sumber ini terus dijadikan punca rujukan
ilmu pengetahuan oleh kita bagi menangani kehidupan kini, yang
sebahagian besarnya melibatkan:
i.) Pandangan terhadap insan, termasuk kehidupan, kewujudan,
fitrah kemanusian, sosial dalam isu-isu yang berhubungkait bagi
individu, keluaraga serta masyarakat dan juga interaksi sosial
yang meliputi sistem-sistemnya.
ii.) Pemahaman yang menjurus ke arah mendaulatkan Sunnah dan
mengikut Sirah para ambia bagi membina budaya dan tamadun Islam
kini.
iii.) Menguasai warisan Islam dengan fahaman yang positif,
mendapat iktibar serta pelajaran daripada persoalan-persoalannya
dan berwaspada dengan sifat-sifat negatif.
iv.) Menghadapi pemikiran Barat serta punyai kaedah bagi memilih
yang baik, berwaspada terhadap keseluruhan idea, berupaya
membuang sifat-sifat negatifnya dan disusun agar sejajar dengan
pemikiran Islam.
Sejauh mana kita mengkaji dan menggali terhadap isi Al-quran ini?
Adakah ianya dijadikan bahan rujukan setiap masa di dalam
kehidupan kita?
Masih ramai lagi antara kita yang berfikiran terbelenggu, bahawa
Al-Quran hanya merupakan suatu yang bahan mulia untuk disimpan
dan terpelihara, keterampilannya hanya tertumpu pada
keadaan-keadaan ibadat (seperti kematian, bacaan terhadap
orang-orang sakit tenat dan lain-lain). Pembelajaran hanya
tertumpu pada hukum-hukum tajwid dan makhraj-makhraj huruf
semata-mata, seolah-olah pembelajaran hanya untuk belajar
membaca, bukan pembelajaran untuk meningkat kefahaman kehidupan.
Kita mengharapkan pemikiran ini perlu dikaji semula.
Kita sedia maklum bahawa kajian dan ciptaan-ciptaan baru
berperanan bagi membentuk ketemadunan insan sejagat. Umpamanya
hasil ciptaan alat komunikasi, automobil dan lain-lain, digunakan
secara menyeluruh oleh masyarakat. Islam menggalakkan umatnya
membuat kebajikan, seperti kebajikan yang berbentuk hasil tulisan
atau ciptaan yang dapat dimanafaati ramai. Cuma persoalannya
sejauh mana kita benar-benar telibat dalam urusan kajian dan
ciptaan ini?
Malah berlaku pula apabila dikemukan hasil kajiaan/ciptaan orang
yang bukan Islam, ada yang membabit dada dengan megah menyatakan
bahawa pertemuan tersebut telah pun disebut di dalam Al-Quran,
sebelum pencipta menemuinya. Sepatutnya ciptaan tersebut beserta
dengan kajian Al-Quran, kitalah yang mendahului mereka terhadap
penemuannya.
Kita khuatir tujuan asal Al-Quran sebagai rujukan disalah
ertikan, ianya patut dijadikan pencetus terhadap kajian (sains
atau sebagainya) bagi membentuk temadun kehidupan, ditukar
menjadi kebanggaan dan membiarkan diri dalam kemunduran dan
berfikiran rendah.
Sudah sampai masanya bahawa Al-Quran disamping dipelajari cara
bacaannya ianya juga perlu dijadikan bahan rujukan dan kajian
setiap masa bagi insan untuk meningkatkan temadun kehidupan di
dunia dan insyallah di akhirat.