Kemampuan politik Muslimah PAS hadapi ujian
oleh Azman Anuar
MUKTAMAR Tahunan PAS Pusat ke-47 yang tamat seminggu lalu
menunjukkan Dewan Muslimah PAS memberi tanda-tanda amaran kepada
UMNO khususnya wanita dan Puteri UMNO yang menjadi saingan
terdekatnya.
Jika sebelum ini PAS bertegas untuk tidak memberi jawatan penting
kepada golongan wanita, apatah lagi untuk mencalonkan mereka
dalam pilihan raya, namun sekarang nyata sudah berbeza.
Perubahan dalam arus politik PAS semakin memperlihatkan aliran
pembaharuan agenda yang sedang dilakukan oleh parti tersebut.
Muslimat PAS sudah pun diberi ruang menjadi perwakilan untuk
memilih pemimpin dan dibenar juga bertanding merebut jawatan
dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
PAS kini sedang berubah mengikut keadaan dan mereka tahu bahawa
isu wanita adalah sangat penting dalam politik negara ini. PAS
tidak boleh lagi selama-lamanya menafikan hak-hak wanita yang
perlu mereka berikan.
Sebab itu kita lihat perubahan sedang berlaku dalam kepimpinan
PAS apabila mereka memberi sokongan kepada wanita untuk berada
dalam haerarki kepimpinan parti yang selama ini didominasi oleh
kaum lelaki.
Sekira trend ini berpanjangan iaitu dengan memberi kedudukan
jawatan kepada Muslimatnya dan juga memberi ruang kepada gulungan
profesionalnya, maka ia akan memberi kesan jangka panjang kepada
politik pimpinan ulama PAS.
Apabila dalam Dewan Muslimat PAS itu sendiri terdiri daripada
golongan profesional yang mempunyai kepakaran masing-masing dan
dalam masa berakar umbi dengan tradisi pegangan Islam mereka, ini
akan memberi satu cabaran kepada pergerakan Wanita UMNO,
khususnya Puteri UMNO. Akan sampai satu tahap dimana kemungkinan
pengundi dan kaum Melayu akan mempunyai dua pilihan.
Satu corak pemimpin wanita terdiri daripada ahli-ahli politik
daripada wanita UMNO dan satu lagi daripada Mulimat PAS. Namun ia
juga bergantung kepada sejauh mana Islam yang akan dibawa oleh
Dewan Muslimat PAS itu?
Sekiranya Islam yang ingin dibawanya lebih bersifat dalam konteks
hukum, maka wanita PAS akan menghadapi laluan sukar. Tetapi
sekiranya mereka mempunyai pandangan yang semakin liberal dengan
beberapa isu, misalnya yang melibatkan hak-hak wanita, maka
Wanita UMNO akan menghadapi saingan yang mencabar pada masa akan
datang.
Jika Puteri UMNO meletakkan misalnya seorang selebriti terkenal
dan Muslimat PAS meletak seorang wanita profesional yang juga
boleh bergaul dengan kaum lelaki dengan berpegang kuat hukum
Islam dan ideologi PAS, maka bayangkan apa akan berlaku pada
waktu itu kepada Wanita UMNO, khususnya Puteri UMNO.
Menurut pemerhati politik, Dr. Zambry Abd. Kadir, pada peringkat
sekarang, Wanita UMNO ada kelebihan kerana aliran Islam yang
dibawa oleh pergerakan itu lebih sederhana dan berjaya memenangi
para pengundi wanita khususnya di kawasan kampung.
Pendekatan sederhana Wanita UMNO ini dapat di lihat dengan lebih
70 peratus anggotanya memakai tudung, aktif berpolitik dan mereka
tidak memaki hamun, mengumpat nista musuh-musuh politik. Malah
mereka tidak menjatuhkan hukum kepada musuh politik daripada
parti lain.
Agresif
Tetapi, sekiranya yang ada hari ini pun akan dicabar dengan
penonjolan pemimpin Muslimat PAS yang nampaknya semakin agresif
dengan pimpinan Ketua Dewan Muslimat yang baru, Fatimah Zainab
Ibrahim yang bersikap sederhana dan Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali
yang lantang bersuara, serta Dr. Maruah Mahmud, Kalthom Othman
dan Senator Jamilah Ibrahim, lambat laun akan memberi cabaran
kepada Wanita UMNO.
Walaupun daripada empat calon Muslimat yang cuba merebut jawatan
Jawatankuasa PAS Pusat, tetapi hanya Dr. Lo' Lo' seorang sahaja
yang berjaya dipilih, ini menunjukkan ahli-ahli PAS mahukan
perubahan dan berfikiran terbuka terhadap kehadiran wanita dalam
kepimpinan PAS.
Kelonggaran membenarkan wanita bertanding untuk jawatan itu,
sebenarnya bertujuan memberi mesej kepada kaum Melayu bahawa
Muslimat PAS bakal mendapat tempat yang lebih baik dalam parti
itu.
Sebelum ini, ramai pemimpin atasan PAS terutama golongan ulama
dikatakan tidak bersetuju wanita bertanding jawatan penting parti
atas alasan dengan keadaan dunia politik sekarang yang kotor dan
sebagainya, mereka merasakan tidak tergamak untuk meletakkan
wanita PAS dalam situasi sedemekian.
Perubahan suasana politik negara sekarang dan cita-cita untuk
menguasai Kerajaan Pusat, selepas berjaya menguasai kerajaan
negeri Kelantan dan Terengganu, PAS memperlihatkan seolah-olah
mereka kini terpaksa 'merelakannya' penampilan Muslimatnya ekoran
wujudnya arus kuat daripada akar umbi yang mahukan pemikiran
sempit seumpama itu dikiburkan sahaja.
Arus kuat perubahan ini sememangnya sukar untuk dibendung lagi
terutama apabila ditunjukkan secara terbuka oleh golongan
profesional yang mahukan ruang yang lebih luas diberikan kepada
mereka untuk berkhidmat dalam parti.
Golongan ulama PAS juga sudah tidak mampu lagi untuk meminggirkan
pengaryh wanita yang menuntut jawatan yang lebih dalam parti.
Selama ini golongan wanita dalam parti itu sentiasa dilihat
sebagai anggota kelas dua ekoran pelbagai sekatan yang dikenakan
ke atas mereka berbanding anggota lelaki. Pemimpin Muslimat PAS
yang kebayakannya ustazah dilihat sebagai pencukup koram ahli
sahaja dan suara mereka jarang diambil kira dalam membuata
apa-apa keputusan penting berkaitan parti.
Bagaimanpun perkembangan terbaru menunjukkan ada usaha pucuk
pemimpin PAS untuk bersikap lebih leberal.
Ada setengah pihak menganggap perubahan ini sebagai satu strategi
terbaru PAS yang nampaknya terpaksa melakukannya demi untuk
memenangi lebih banyak undi, kerana PAS sendiri tahu lebih
separuh pengundi adalah kaum wanita.
Selepas perasmian muktamar PAS minggu lalu, Dr. Lo' Lo' berkata
bahawa PAS perlu membuka ruang kepada Muslimat dengan mengambil
kira peranan mereka (Muslimat) dalam parti dan kesedaran mengenai
kesaksamaan politik antara wanita dan lelaki. Cadangan ini dibuat
kerana mengambil kira pandangan beberapa ulama sebelum ini yang
tidak menghalang Muslimat berbuat demikian dan keperluan politik
semasa.
Bagaimana keputusan sama ada Muslimat boleh bertanding dalam
pilihan raya masih bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama
PAS. Malah dalam sejarah PAS, bekas Ketua Dewan Muslimatnya
Khatijah Sidek pernah dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri
di Terengganu dalam pilihan raya 1964. allahyarhamah Khatijah
bukan sahaja menjadi calon Muslimat PAS yang pertama, malah
berjaya memenangi pilihan raya itu.
Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS, Fatimah Zainab Ibrahim (isteri
pemimpin Majlis Dewan Ulama PAS, Harun Taib), pihaknya tidak akan
memaksa atau mendesak parti untuk memberi laluan kepada Muslimat
menjadi calon pilihan raya.
Keputusan terserah kepada Dewan syura menentukan sama ada sesuai
atau tidak untuk parti meletakkan Muslimat sebagai calon. Ini
membayangkan harapan ahli Muslimat PAS untuk melihat sesiapa di
antara mereka berdiri sebagai calon dalam pilihan raya umum akan
datang, akan mengambil masa lagi.
Fatimah yang dihubungi oleh Utusan, menegaskan walaupun
Muslimat tidak dipilih tetapi mereka mempunyai tanggungjawab
besar untuk melindungi wanita melalui Islam dan meningkatkan
perjuangan Islam.
Diskriminasi
Menurut beliau lagi, sebenarnya tiada perubahan yang berlaku
seperti yang diheboh-hebohkan oleh sesetengah pihak tentang Dewan
Muslimat.
"Kepimpinan PAS menerima pandangan daripada Muslimat.
sebenarnya ini menunjukkan tiada perubahan dan tidak berlaku
diskriminasi tentang kedudukan kaum Muslimat PAS," katanya.
Beliau yakin bahawa wakil Muslimat PAS yang dipilih berada dalam
barisan kepimpinana parti akan dapat menyesuaikan diri mereka.
Menurut pensyarah Jabatan Sains Polotik, Universiti Kebangsaan
Malaysia, saliha Hassan, perubahan yang dilakukan dalam PAS
terhadap Dewan Muslimat bukan bermotifkan wanitanya mahu
kedudukan dalam kepimpinan PAS.
"Biasnya yang dicari ialah undi dan ini tidak ada bezanya
dengan ahli-ahli politik wanita daripada parti-parti lain,"
kata Saliha.
Dalam soal mendesak atau menuntut untuk menjadi calon dalam
pilihan raya, kata Saliha, perkara ini tidak timbul. Ini kerana
sejak dahulu, Muslimat PAS dilihat patuh kepada keputusan
kepimpinan parti. Malah mereka dilihat sentiasa bersedia untuk
menghadapi pilihan raya.
Perubahan yang berlaku dalam PAS sekarang menunjukan perkembangan
yang sihat untuk Dewan Muslimat PAS. Kehadiran golongan
profesional wanita diterima dalam barisan pucuk pimpinan PAS
bukan sahaj diberi ruang tetapi juga pengiktirafan kepada mereka
oleh pucuk pimpinan PAS.