Surah Al-Balad
Surah ini diwahyukan di Makkah
Pokok perbincangan surah ini ialah menunjukkan jalan-jalan
mujahadah menuju keimanan dan keridhaan Allah.
Intisari pengajaran yang pertama bagi surah ini ialah :
Menerangkan kemulian tanah suci Makkah.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 1 - Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini.
Ayat 2 - Sedang engkau (wahai Muhammad) tinggal di negeri ini
(sentiasa ditindas).
Intisari pengajaran yang kedua bagi surah ini ialah :
Menerangkan kepentingan hubungan di antara ibu bapa dan anak.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 3 - Demi manusia yang melahirkan zuriat, dan zuriat yang
dilahirkannya.
Intisari pengajaran yang ketiga bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa hakikat hidup manusia itu ialah perjuangan
mencari jalan Allah.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 4 - Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia
sentiasa dalam keadaan menghadapi kesulitan dan kesukaran
(jasmani dan rohani).
Intisari pengajaran yang keempat bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa manusia tidak dapat mengeliru Allah dengan
amalan-amalan mereka yang tidak ikhlas.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 5 - Patutkah manusia yang demikian keadaannya (terpedaya
dengan kuat kuasa yang ada padanya dan) menyangka bahawa tidak
ada sesiapa pun yang dapat mengatasi kuat kuasanya (dan
menyiksakannya)?
Ayat 6 - Manusia yang demikian keadaannya (tidaklah patut ia
bermegah-megah dengan kekayaannya dan) berkata: "Aku telah
habiskan harta benda yang banyak (dalam usaha menegakkan nama dan
bangsa).
Ayat 7 - Adakah ia menyangka bahawa tidak ada sesiapa pun
yang melihatnya (dan mengetahui tujuan ia habiskan harta benda
itu)?
Ayat 8 - (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?)
Tidakkah Kami telah menjadi baginya: dua mata (untuk ia
memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami)?
Ayat 9 - Dan lidah serta dua bibir (untuk ia menyempurnakan
sebahagian besar dari hajat-hajatnya)?
Ayat 10 - Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, -
(jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk
dijauhi?).
Intisari pengajaran yang kelima bagi surah ini ialah :
Menerangkan jalan-jalan mujahadah merebut keridhaan Allah.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 11 - Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan
kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi
pangkatnya di sisi Tuhan.
Ayat 12 - Dan apa jalannya engkau dapat tahu: apa dia
amal-amal yang tinggi pangkatnya di sisi Tuhan itu?
Ayat 13 - (Diantara amal-amal itu - bagi orang mampu) ialah:
memerdekakan hamba abdi.
Ayat 14 - Atau memberi makan pada hari kelaparan.
Ayat 15 - Kepada anak yatim dari kaum kerabat.
Ayat 16 - Atau kepada orang miskin yang terlantar diatas
tanah.
Ayat 17 - Selain dari (tidak mengerjakan amal-amal) itu, ia
(tidak pula) menjadi golongan orang-orang yang beriman dan
berpesan-pesan dengan sabar serta berpesan-pesan dengan kasih
sayang.
Ayat 18 - (Ketahuilah! Bahawa orang-orang beriman serta
berusaha mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi
Tuhan), merekalah golongan pihak kanan (yang akan beroleh syurga.
Khulasah Al-Quran