Surah Al-Hadid
Surah ini diwahyukan di Madinah.
Pokok Pembicaraan surah ini ialah menerangkan
sifat-sifat Allah dan menyeru masyarakat Islam supaya bersedia
untuk mengorbankan harta kekayaan mereka demi sabilillah, juga
menyeru mereka supaya membina kekhusyu'kan hati mereka dan
menyedari kehidupan di dunia ini adalah hiburan dan permainan
sahaja. Seterusnya juga surah ini menyeru masyarakat Islam supaya
berlumba-lumba mencari keampunan Allah dan jangan mudah berputus
asa serta lupa daratan.
Intisari ruku' (1) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan sifat-sifat Allah yang agung.
(2.) Menyeru umat Muslimin
supaya mengorbankan harta kekayaan mereka demi sabilillah.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 1 -
Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap
tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha
Bijaksana.
Ayat 2 - Dia
lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia
menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
Ayat 3 -
Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir; dan Yang Zahir
serta Yang Batin; dan Dia lah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap
sesuatu.
Ayat 4 - Dia
lah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa,
kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; Ia mengetahui apa yang
masuk ke bumi serta apa yang keluar daripadanya; dan apa yang
diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Ia tetap
bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha
Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Ayat 5 -
Dia lah sahaja yang menguasai dan memiliki langit
dan bumi; dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
Ayat 6 - Dia
lah yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan
memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam (silih berganti); dan
Dia lah yang Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang
terkandung di dalam dada.
Ayat 7 -
Berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan
belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda
(pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai
wakil. Maka orang-orang yang beriman di antara kamu serta mereka
membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah);
mereka tetap beroleh pahala yang besar.
Ayat 8 - Dan
mengapa kamu tidak beriman kepada Allah? Sedang Rasulullah
mengajak kamu untuk beriman kepada Tuhan kamu, dan Allah telah
mengambil janji setia dari kamu (untuk beriman); jika kamu hendak
beriman (maka telah jelaslah dalil-dalilnya).
Ayat 10 -
Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda
kamu pada jalan Allah? - Padahal Allah jualah yang mewarisi
langit dan bumi (serta segala isinya). Tidaklah sama di antara
kamu, orang-orang yang membelanjakan hartanya serta turut
berperang sebelum kemenangan (Nabi menguasai Makkah). Mereka itu
lebih besar darjatnya daripada orang-orang yang membelanjakan
hartanya serta turut berperang sesudah itu. Dan tiap-tiap satu
puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) yang sebaik-baiknya.
Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang
kamu kerjakan.
Intisari ruku' (2) bagi surah ini ialah :
Menyeru para Mukmin supya khusyu'uk dan patuh kepada Allah dan
kepada pengajaran-pengajaran yang diturunkanNya.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 16 - Belum sampaikah lagi
masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka
mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran
(Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula
mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab
sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut
maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya
orang-orang yang fasik - derhaka.
Intisari ruku' (3) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan bahawa kehidupan dunia itu hanyalah hiburan dan
permainan sahaj sedangkan matalamat kehidupan yang
sebenar ialah mencari keridhan Allah.
(2.) Menerangkan bahawa
segala mala pertaka yang menimpa manusia adalah tercatat dalam
suratan takdir dan mereka dilarang berputus asa dan lupa daratan.
(3.) Menerangkan kegunaan
besi.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 20 - Berlumba-lumbalah kamu
(mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari
Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala
langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman
kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah
kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya;
dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.
Ayat 21 - Tidak ada sesuatu
kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak
juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam
Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya
mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
Ayat 22 - (Kamu diberitahu tentang
itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput
daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan
bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah),
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi
membanggakan diri.
Ayat 23 - Orang-orang yang bakhil
dan menyuruh manusia supaya berlaku bakhil, (akan mendapat
balasan yang menghina); dan sesiapa yang berpaling (dari mematuhi
hukum Allah maka padahnya tertimpa atas dirinya sendiri), kerana
sesungguhnya Allah, Dia lah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Ayat 25 - Dan demi sesungguhnya!
Kami telah mengutus Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim, dan Kami jadikan
pada keturunan keduanya orang-orang yang berpangkat Nabi dan
menerima Kitab-kitab ugama; maka sebahagian di antara mereka:
orang yang beroleh hidayah petunjuk, dan kebanyakan mereka
orang-orang yang fasik - derhaka
Intisari ruku' (4) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan bahawa tradisi kerahiban dalam masyarakat Nasara
itu adalah rekaan dari paderi-paderi mereka sahaja dari ajaran
Allah.
(2.) Menerangkan orang-orang Nasara yang beriman akan dapat dua
kali ganda balasan.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 27 - Wahai orang-orang yang
beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman
kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua
bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk
kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta
diampunkannya dosa kamu; dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
Ayat 28 - (Ditetapkan pemberian
yang demikian kepada kamu) supaya golongan ahli Kitab (Yahudi dan
Nasrani - yang menentang Islam) mengetahui, bahawa sesungguhnya
mereka tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mendapat (atau
menyekat) sesuatu dari limpah kurnia Allah, dan bahawa
sesungguhnya limpah kurnia itu terletak dalam kekuasaan Allah,
diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah),
Allah jualah yang mempunyai limpah kurnia yang besar.
Khulasha Al-Quran