Surah Al-Imran
Surah ini diwahyukan di Madinah.
Pokok perbincangan surah
ini ialah menerangkan penyelewengan orang-orang Nasara (Kristian)
dan menyeru mereka supaya kembali ke pangkal jalan.
Intisari ruku' (1) bagi surah ini ialah :
(1.) Menyeru orang-orang Nasara supaya beriman kepada kitab suci
Al-Quran yang telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW
sebagaimana Ia turunkan kitab suci Taurat dan Injil kepada Nabi
Musa AS dan Nabi Isa AS sebelumnya.
(2.) Menerangkan bahawa ayat-ayat Al-Quran itu terbahagi kepada
ayat-ayat Muhkamaat (ayat yang jelas dan terang maksudnya - tidak
perlu takwil) dan ayat-ayat Mutasyabihaat (ayat yang bermaksud
halus dan mendalam - perlu ditakwilkan)
Sumber ambilan ialah:
Ayat 2 - Allah tiada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal
selama-lamanya mentadbirkan sekalian makhlukNya.
Ayat 3 - Ia menurunkan kepadamu
(wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi
kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah
diturunkan dahulu daripadanya, dan Ia juga yang menurunkan
Kitab-kitab Taurat dan Injil.
Ayat 4 - Sebelum (Al-Quran
diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Ia juga yang
menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan
yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan
ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat
berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas
dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
Ayat 7 - Dia lah yang menurunkan
kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar
dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang
tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat
Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan yang lain
lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang
samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah
faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) -
adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah
kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari
Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya
(memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada
yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar)
melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam
pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman
kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan
tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan
orang-orang yang berfikiran.
Intisari ruku' (2) bagi surah ini ialah :
Menerangkan balasan orang-orang yang tidak beriman akan dimasukan
ke dalam neraka dan balasan orang-orang yang beriman akan di
tempat ke dalam syurga.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 12 - Katakanlah (wahai Muhammad)
kepada orang-orang kafir itu: "Kamu akan dikalahkan (di
dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam
neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang
disediakan".
Ayat 15 - Katakanlah (wahai
Muhammad): "Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan
yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang-orang
yang bertaqwa disediakan di sisi Tuhan mereka beberapa Syurga,
yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di
dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang
suci bersih, serta (beroleh pula) keredaan dari Allah". Dan
(ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya;
Intisari ruku' (3) bagi surah ini ialah :
Mengingatkan pada mereka yang angkuh bahawa segala kekuatan,
kebebasan dan kemulian yang di miliki sebenarnya tidak terlepas
dari kekuasan Allah. Dialah yang mengurniakan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 26 - Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!
Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang
Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan
dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang
memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang
menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah
sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa
atas tiap-tiap sesuatu.
Intisari ruku' (4) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa lajan untuk mencapai keridhan Tuhan ialah
mengikut jalan Rasulullah SAW dan para RasulNya.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 31 - Katakanlah (wahai
Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah
daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa
kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Ayat 33 - Sesungguhnya Allah telah
memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim
dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman
mereka masing-masing).
Intisari ruku' (5) bagi surah ini ialah :
Menyampaikan berita gembira bagi kelahiran Isa As dan risalahnya.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 45 - (Ingatlah) ketika malaikat
berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar
yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang
engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada
Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang
terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang
yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).
Ayat 51 - "Sesungguhnya Allah
ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu
kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".
Intisari ruku' (6) bagi surah ini ialah :
Menerangkan empat perjanjian Allah dengan Nabi Isa AS.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 55 - (Ingatlah) ketika Allah
berfirman: "Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu
dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan
membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan juga akan menjadikan
orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir (yang
tidak beriman kepadamu), hingga ke hari kiamat. Kemudian kepada
Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghukum (memberi
keputusan) tentang apa yang kamu perselisihkan".
Intisari ruku' (7) bagi surah ini ialah :
Menyeru ahli-ahli kitab kembali ke pangkal jalan dan bersatupadu
dengan orang-orang Islam untuk sama-sama berjuang menegakkan
agama tauhid dan juga menerangkan sikap mereka yang degil.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 64 - Katakanlah (wahai
Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah
yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak
menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya
sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil
akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja
dan didewa-dewakan selain dari Allah". Kemudian jika mereka
(Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah
kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami
adalah orang-orang Islam".
Ayat 69 - Segolongan dari Ahli Kitab
suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kamu;
padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri,
dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu).
Intisari ruku' (8) bagi surah ini ialah :
Menerangkan sifat hipokrit segolongan ahli-ahli kitab.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 72 - Dan berkatalah segolongan
dari Ahli Kitab (sesama sendiri): "Berimanlah kamu kepada
Al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu:
pada sebelah pagi, dan kufurlah (ingkarlah) pada petangnya,
supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir
semula".
Intisari ruku' (9) bagi surah ini ialah :
Mengingatkan kaum ahli kitab bahawa nabi-nabi yang diutuskan
kepada mereka telah membuat perjanjian dengan mereka supaya
mengikut nabi Muhammad SAW dan menyokong perjuangannya apabila ia
dibangkitkan.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 81 - Dan (ingatlah) ketika Allah
mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya):
"Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan
kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang
mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman
sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh
menolongnya". Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka):
"Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan
ikatan janjiku secara yang demikian itu?" Mereka menjawab:
"Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". Allah
berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan
Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu."
Intisari ruku' (10) bagi surah ini ialah :
Menjawab pengeliruan dan bidaah-bidaah yang diada-adakan oleh
orang-orang Yahudi dalam hukum-hukum agama mereka yang tidak
dinaskan dalam kitab Taurat yang diturunkan kepada mereka.
(1.) Mengenai makanan iaitu pada asalnya semua makanan itu halal
kepada Bani Israel. Kemudian Allah mengharamkan setengah-setengah
makanan yang baik kepada mereka sebagai balasan atas
kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh mereka dan bukan
pengharaman itu kerana makanan itu sendiri.
(2.) Mengenai kiblat iaitu mereka mendakwa Baitulmaqdis itu lebih
mul;ia dai Kaabah sedangkan yang sebenarnya ialah Kaabah itu
lebih mulia dari Baitulmaqdis.
(3.) Mengingatkan orang-orang Islam supaya jangan terpengaruh
dengan cakap orang-orang Yahudi.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 93 - Segala jenis makanan dahulu
adalah halal bagi Bani Israil, kecuali makanan yang diharamkan
oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum
diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika
ada makanan yang diharamkan kepada kamu - wahai Bani Israil -
sebelum Kitab Taurat diturunkan) maka bawalah kamu Kitab Taurat
itu kemudian bacalah akan dia, kalau betul kamu orang-orang yang
benar.
Ayat 96 - Sesungguhnya Rumah Ibadat
yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya)
ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan)
petunjuk hidayah bagi umat manusia.
Ayat 100 - Wahai orang-orang yang
beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang
(Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka
akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu
beriman.
Intisari ruku' (11) bagi surah ini ialah :
(1.) Mengingatkan kaum Muslimin bahawa mereka perlu mewujudkan
dalam masyarakat mereka kumpulan pendakwah yang menyeru orang
ramai kepada kebaikan dan melarang mereka melakukan kejahatan.
(2.) Mereka perlu bersatu dan jangan mengikut perbuatan-perbuatan
orang-orang Yahudi yang berpecac-belah dalam agama mereka.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 104 - Dan hendaklah ada di
antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan
(mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang
baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji).
Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Ayat 105 - Dan janganlah kamu menjadi
seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai
dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada
mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh
Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh
azab seksa yang besar.
Intisari ruku' (12) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan bahawa umat Muslimin adalah satu umat pilihan
Allah untuk meminpin umat manusia.
(2.) Mengingatkan kaum Muslimin supaya jangan menjadikan
orang-orang bukan Islam yang berseteru dengan mereka sebagai
kawan setia.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 110 - Kamu (wahai umat Muhammad)
adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik
dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji),
serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).
Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman
(sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik
bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan
kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.
Ayat 118 - Wahai orang-orang yang
beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari
kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai).
Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana
kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun
nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa
yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi.
Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu
keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.
Intisari ruku' (13) bagi surah ini ialah :
(1.) Peristiwa kemenangan di dalam peperangan Badar yang berkait
dengan sejarah perkembangan dakwah Islam.
(2.) Peritiwa persiapan peperangan Uhud oleh Rasulullah SAW dan
orang-orang Islam.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 121 - Dan (ingatlah wahai
Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu
(di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman
pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud).
Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Ayat 123 - Dan sesungguhnya Allah
telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar,
sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan
kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah,
supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
Ayat 124 - (Ingatlah wahai Muhammad)
ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk
menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu,
bahawa Allah membantu kamu dengan tiga ribu tentera dari malaikat
yang diturunkan?,"
Ayat 125 - Bahkan (mencukupi. Dalam
pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh)
datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu
kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.
Ayat 126 - Dan Allah tidak menjadikan
bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar
gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu.
Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu
hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Ayat 127 - (Kemenangan Badar itu)
kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang
kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka
kembali dengan hampa kecewa.
Intisari ruku' (14) bagi surah ini ialah :
Pengumuman pengharaman riba.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 130 - Wahai orang-orang yang
beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan
berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah
supaya kamu berjaya.
Intisari ruku' (15) bagi surah ini ialah :
Mengingatkan umat Islam supaya tetap teguh berjuang bersama
Rasulullah SAW sekalipun beliau atau terbunuh.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 144 - Dan Muhammad itu tidak
lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa
orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau
ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling
tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik
(menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada
Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan
pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang
tidak ada bandingannya itu).
Intisari ruku' (16) bagi surah ini ialah :
Mengingatkan kaum Muslimin bahawa Allah tetap dengan janjiNya
untuk memberi kemenangan kepada perjuangan mereka sehingga mereka
sendiri lemah semangat dan berpecac-belah.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 152 - Dan demi sesungguhnya,
Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada
kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan
izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk
meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang)
itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah)
sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai
(kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang
menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada
yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu
daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran)
kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata
dengan limpah kurniaNya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa
melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
Ayat 153 - (Ingatlah) ketika kamu
berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang
Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu
dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus
tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas
kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan
sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan
(Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang
telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang
menimpa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa jua yang kamu lakukan.
Ayat 154 - Kemudian sesudah (kamu
mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan
kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang
meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas),
sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri,
menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar,
seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata:
"Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan
kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (wahai
Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu
semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa
melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)". Mereka
sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan
kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada
sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu,
tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?"
katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah
kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah
ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati
masing-masing". Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud
itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada
kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan
(ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang
ada di dalam dada.
Intisari ruku' (17) bagi surah ini ialah :
(1.) Memuji Nabi Muhammad SAW yang telah berjaya menyatupadukan
kaum Muslimin dengan sikapnya yang lemah lembut setelah mereka
kalah dalam peperangan dan menyeru Nabi Muhammad juga
peminpin-peminpin Islam yang lain supaya bersikap pemaaf dan
sentiasa bermusyuarat dengan pengikut-pengikutnya.
(2.) Mengingatkan kaum Muslimin yang kalah dalam mana-mana
peperangan supaya jangan lupa kepada nikmat kemenangan dalam
peperangan sebelumnya.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 159 - Maka dengan sebab rahmat
(yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad),
engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat
dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras
hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah
mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan
pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan
mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.
kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat,
untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal
kepadaNya.
Ayat 165 - (Patutkah kamu melanggar
perintah Rasulullah)? dan (kemudiannya) apabila kamu ditimpa
kemalangan (dalam peperangan Uhud), yang kamu telahpun memenangi
seperti itu sebanyak dua kali ganda (dengan menimpakan kemalangan
kepada musuh dalam peperangan Badar), kamu berkata: "Dari
mana datangnya (kemalangan) ini? "Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kemalangan) itu ialah dari kesalahan diri kamu
sendiri (melanggar perintah Rasulullah)". Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ayat 166 - Dan apa yang telah menimpa
kamu pada hari bertemu dua kumpulan (angkatan tentera - di medan
perang Uhud) itu, maka (adalah ia) dengan izin Allah, dan dengan
tujuan Allah hendak melahirkan dengan nyata akan orang-orang yang
(sebenar-benarnya) beriman.
Intisari ruku' (18) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa faktor kemenangan yang besar dalam peperangan
ialah keteguhan iman kaum Muslimin.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 173 - Mereka juga ialah yang
diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka:
"Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera
untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun
kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka
lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia
sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan
kami)".
Intisari ruku' (19) bagi surah ini ialah :
Menerangkan dua sifat keji orang-orang Yahudi iaitu :
(i.) Sifat dolak-dale\ik.
(ii.) Sifat menyembunyikan ajaran Allah.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 181 - Sesungguhnya Allah telah
mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan:
Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami
(Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka
membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya,
dan Kami akan katakan kepada mereka: "Rasalah kamu azab
seksa yang sentiasa membakar -
Ayat 187 - Dan (ingatlah) ketika
Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah
diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu
menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan
sekali-kali kamu menyembunyikannya". Kemudian mereka
membuang (perjanjian setia) itu ke belakang mereka, serta mereka
menukarnya dengan mengambil faedah dunia yang sedikit. Maka
amatlah buruknya apa yang mereka dapati dari penukaran
(Kalamullah dan janjiNya) itu.
Intisari ruku' (20) bagi surah ini ialah :
Memuji segolongan ahli-ahli kitab yang beriman kepada Allah dan
kepada kitab-kitab yang diturunkan Nya.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 199 - Dan sesungguhnya di antara
Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan (kepada) apa
yang diturunkan kepada kamu (Al-Quran) dan juga (kepada) apa yang
diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah
dengan tidak menukarkan ayat-ayat Allah untuk mengambil
keuntungan dunia yang sedikit. Mereka itu beroleh pahalanya di
sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan
hisabNya.
Khulasah Al-Quran