Surah Fathir
Surah ini diwahyukan di Makkah

Pokok pembicangan surah ini ialah memperkatakan ciri-ciri golongan Mukmin dan golongan Kafirin dengan mengemukakan berbagai-bagai perbandingan indah.

Intisari ruku' (1) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerang kejadian Malaikat.
(2.) Seluruh anak kunci Rahmat itu ditangan Allah.
(3.) Tiada sumber rezeki melainkan dari Allah.
(4.) Janji Allah itu tetap benar.
(5.) Syaitan itu musuh menusia yang abadi.

Sumber ambilan ialah:
Ayat 1 - Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, yang menjadikan malaikat utusan-utusan yang bersayap: dua, tiga dan empat; Ia menambah pada bentuk kejadian makhluk yang diciptakanNya apa jua yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ayat 2 - Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Ayat 3 - Wahai umat manusia, kenangkanlah nikmat Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu; tidak ada sama sekali yang menciptakan sesuatu selain daripada Allah; Ia memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi. Tiada Tuhan melainkan Dia, maka mengapa kamu rela dipalingkan (dari menyembahnya)?
Ayat 5 - Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka).
Ayat 6 - Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

Intisari ruku' (2) bagi surah ini ialah :
Menerangkan kejadian laut dan sungai.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 12 - Dan tidaklah sama keadaan dua laut (sekalipun satu jenisnya), yang satu tawar lagi memuaskan dahaga serta sesuai diminum, sementara yang satu lagi masin lagi pahit. Dan (kedua-duanya itu berfaedah kepada kamu): dari tiap-tiap satunya kamu dapat makan daging yang lembut - hidup-hidup, dan dapat pula kamu mengeluarkan benda-benda perhiasan untuk kamu memakainya; (selain itu) engkau melihat pula kapal-kapal membelah air belayar padanya; (diadakan semuanya itu) supaya kamu dapat mencari rezeki dari limpah kurnia Allah, dan supaya kamu bersyukur.

Intisari ruku' (3) bagi surah ini ialah :
Mengingatkan manusia kepada perbandingan-perbandingan yang benar iaitu si buta tidak sama dengan si celik, gelita tidak sama dengan cahaya, bayang tidak sama dengan panas dan yang hidup tidak sama dengan yang mati.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 19 - Dan tidaklah sama orang buta dengan orang yang melihat.
Ayat 20 - Dan tidaklah sama gelap-gelita dengan cahaya yang terang-benderang,
Ayat 21 - Dan tidaklah sama suasana yang teduh dengan yang kencang panasnya.
Ayat 22 - Dan (Demikianlah pula) tidaklah sama orang-orang yang hidup dengan orang-orang yang mati. Sesungguhnya Allah, (menurut undang-undang peraturanNya), dapat menjadikan sesiapa yang dikehendakinya mendengar (ajaran-ajaran Kitab Allah serta menerimanya), dan (engkau wahai Muhammad) tidak dapat menjadikan orang-orang yang di dalam kubur mendengar (dan menerimanya).
Ayat 23 - Engkau tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.

Intisari ruku' (4) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan jika kepelbagaian jenis terdapat kepada tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, ternakan-ternakan begitu juga kepada manusia terdapat kepelbagaian yang sama dan manusia ayng mempunyai ilmu pengetahuan sahaja mengenal dan takut kepada Allah.
(2.) Menerangkan bahawa sebaik-baik pelaburan itu ialah membaca Al-Quran, mendirikan solat dan membelanjakan harta untuk jalan Allah.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 27 - Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;
Ayat 28 - Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Ayat 29 - Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian;
Ayat 30 - Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahi mereka dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya).

Intisari ruku' (5) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa kekafiran itu menambahkan kerugian demi kerugian.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 39 - Dia lah yang menjadikan kamu orang-orang yang berkuasa di muka bumi silih berganti; oleh itu sesiapa yang kufur ingkar maka balasan kufurnya itu akan menimpa dirinya sendiri; dan orang-orang yang kafir, kufurnya tidak menambahkan mereka di sisi Tuhan mereka melainkan kemurkaan dan kehinaan; dan juga orang-orang yang kafir itu, kufurnya tidak menambahkan mereka melainkan kerugian jua.

Khulasah Al-Quran