Surah Yunus
Surah ini diwahyukan di Makkah kecuali ayat 40, dan 94-96.
Pokok perbincangan surah ini ialah berligar di sekitar menegakkan
prinsip-prinsip tauhid, meruntuhkan kepercayaan syirik,
menegakkan risalah kerasulan Nabi SAW dan mengemukakan persoalan
kebangkitan semula selepas qiamat.
Intisari ruku' (1) bagi surah ini ialah :
Allah menempelak orang-orang yang merasa aneh terhadap Allah yang
telah membangkitkan Rasul-Rasul kepada manusia sedangkan
kebangkitan itu untuk tujuan memimpin mereka ke arah yang
selamat.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 2 - Tidaklah patut adanya pada manusia yang ingkar itu
perasaan hairan disebabkan Kami telah wahyukan kepada seorang
lelaki dari jenis mereka (Nabi Muhammad, dengan berfirman
kepadanya): "Berilah amaran kepada umat manusia (yang
ingkar, dengan balasan azab) dan sampaikanlah berita yang
mengembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa bagi mereka
ada persediaan yang sungguh mulia di sisi Tuhan mereka
(disebabkan amal-amal soleh yang mereka kerjakan). (Setelah Nabi
Muhammad memberi amaran dan menyampaikan berita yang
mengembirakan) berkatalah orang-orang kafir (yang merasa hairan)
itu: "Sebenarnya (Al-Quran) ini ialah sihir yang terang
nyata."
Intisari ruku' (2) bagi surah ini ialah :
Allah mengingatkan manusia bahawa Ia telahpun membinasakan
berbagai-bagai umat di zaman dahulu kala kerana kedengilan mereka
menolak kedatangan Rasul-Rasul yang diutus olehNya.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 13 - Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat
yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal
telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa
keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman.
Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.
Intisari ruku' (3) bagi surah ini ialah :
Mengingatkan manusia supaya menggunakan akal fikiran mereka
dengan insaf dan adil untuk memahami segala pengajaran yang
diturunkan oleh Allah.
Sumber ambilan ialah:
Ayat 24 - Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia
hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu
(tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari
jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang -
bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya)
dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna
dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang
berwarna-warni), dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka
dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil
hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana
pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan dia
hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah
Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum
yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).
Intisari ruku' (4) bagi surah ini ialah :
Menegaskan bahawa kitab suci Al-Quran adalah dari Allah
bukannya dari ciptaan dan rekaan manusia.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 37 - Dan bukanlah Al-Quran ini sesuatu yang boleh
diada-adakan oleh yang lain dari Allah; tetapi Al-Quran itu
diturunkan oleh Allah untuk membenarkan Kitab-kitab yang
diturunkan sebelumnya, dan untuk menjelaskan satu persatu
hukum-hukum Syarak yang diwajibkan (atas kamu); tidak ada
sebarang syak dan ragu-ragu pada Al-Quran itu tentang datangnya
dari Allah, Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
Ayat 38 - (Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang
demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad)
yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah
(wahai Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah
yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja
yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk
membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!".
Ayat 39 - Bahkan mereka pula terburu-buru mendustakan
Al-Quran yang fahaman mereka tidak dapat meliputi segala isi
pengetahuannya, dan belum datang kepada mereka kenyataan yang
menjelaskan kebenarannya. Demikianlah juga orang-orang sebelum
mereka mendustakan (Kitab-kitab Allah yang diturunkan kepada
mereka). Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim
itu (berakhir dengan berbagai bencana yang membinasakan mereka).
Intisari ruku' (5) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa sebab utama ornag-orang yang tidak
menerima dakwah Allah yang benar itu ialah kerana telinga dan
mata hati mereka masing-masing pekak dan buta.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 42 - Dan di antara mereka (yang ingkar) itu, ada yang
datang mendengar ajaranmu (dengan tidak mendapat faedah
sedikitpun sebagai orang pekak); maka engkau (wahai Muhammad)
tidak berkuasa menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar,
juga kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu memahami
perkara yang didengarnya.
Ayat 43 - Dan di antara mereka pula ada yang memandang kepada
perkara-perkara yang engkau tunjukkan (tetapi mereka tidak nampak
kebenarannya sebagai orang buta); maka engkau (wahai Muhammad)
tidak berfaedah menunjuk jalan kepada orang-orang yang buta, juga
kalau mereka menjadi orang-orang yang tidak mahu melihat (perkara
yang engkau tunjukkan itu).
Intisari ruku' (6) bagi surah ini ialah :
(1.) Pengajaran yang baik.
(2.) Penawar hati yang empuh dan penyakit-penyakit syirik
dan nifaq.
(3.) Bimbingan ke jalan yang benar dan rahmat kepada orang-orang
yang beriman.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 57 - Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang
kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan
kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang
ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk
keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Ayat 58 - Katakanlah (wahai Muhammad) "kedatangan
Al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan
kasih sayangNya, maka dengan isi kandungan Al-Quran itulah
hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana
ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala
benda dan perkara yang tidak kekal)".
Intisari ruku' (7) bagi surah ini ialah :
(1.) Mengingatkan manusia supaya meneliti kecuaian-kecuaian
mereka kerana Allah memerhati dan menyaksi segala tindak-tanduk
mereka
(2.) Tiada kebimbangan dan kedukacitaan kepada orang-orang mukmin
yang hampir kepada Allah.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 61 - Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam
menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca
sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran dan tidaklah kamu
(wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha,
melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu
mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan
Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada
di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu
dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di
dalam Kitab yang terang nyata.
Ayat 63 - (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang
beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
Ayat 64 - Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang
mengembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang
perubahan pada janji-janji Allah yang demikian itulah kejayaan
yang besar.
Intisari ruku' (8) bagi surah ini ialah :
Menyeru para pendakwah supaya mengambil contoh tauladan
perjuangan dari nabi Nuh dan Rasul-Rasul selepasnya yang sentiasa
menghadapi kedengilan kaum mereka masing-masing.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 71 - Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad)
perihal Nabi Nuh, ketika ia berkata kepada kaumnya: "Wahai
kaumku! Sekiranya kedudukan aku dalam kalangan kamu, dan
peringatan yang aku berikan kepada kamu dengan ayat-ayat
keterangan Allah itu, menjadi keberatan kepada kamu, maka
(buatlah apa yang kamu hendak buat, kerana) kepada Allah jualah
aku berserah diri. Oleh itu, tetapkanlah keazaman kamu serta
sekutu-sekutu kamu untuk melakukan rancangan jahat kamu
terhadapku; kemudian janganlah hendaknya rancangan jahat kamu
itu, kamu jalankan secara tersembunyi (tetapi biarlah terbuka);
sesudah itu bertindaklah terus terhadapku dan janganlah kamu
tunggu-tunggu lagi.
Ayat 72 - "Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan
peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku
tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran
ugama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari
Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar);
dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam
(yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".
Ayat 73 - Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami
selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di
dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang
memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga
punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan
orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi
amaran.
Ayat 74 - Kemudian Kami utuskan sesudah Nabi Nuh, beberapa
orang Rasul kepada kaum masing-masing; lalu Rasul-rasul itu
datang kepada kaum mereka dengan membawa keterangan-keterangan
yang nyata; dalam pada itu kaum mereka tetap juga tidak mahu
beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya sebelum itu.
Demikianlah, Kami meteraikan atas hati orang-orang yang melampaui
batas.
Ayat 75 - Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi
Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya dengan membawa
ayat-ayat Kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong
takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum yang biasa
melakukan dosa.
Intisari ruku' (9) bagi surah ini ialah :
Menerangkan bahawa mayat Maharaja Fir'aun yang menindas Nabi
Musa AS telah diselamatkan oleh Allah untuk dijadikan bukti
kepada ornag-orang kemudian.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 92 - "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau
(hai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa,
daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang
di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar). Dan (ingatlah)
sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan
memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!".
Intisari ruku' (10) bagi surah ini ialah :
Menerangkan keterangan dan pengajaran yang terkandung di
dalam Al-Quran itu adalah dari Allah dan serasi dengan keterangan
dan pengajaran yang terkandung dalam kitab-kitab suci Taurat dan
Injil dan sebarang keraguan tidak harus timbul.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 94 - Oleh sebab itu, sekiranya engkau (wahai Muhammad)
merasa ragu-ragu tentang apa yang Kami turukan kepadamu, maka
bertanyalah kepada orang-orang yang membaca kitab-kitab yang
diturunkan dahulu daripadamu (kerana mereka mengetahui
kebenarannya). Sesungguhnya telah datang kepadamu kebenaran dari
Tuhanmu, maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari golongan
yang ragu-ragu.
Intisari ruku' (11) bagi surah ini ialah :
(1.) Menerangkan ciri-ciri perbezaan ibadat di antara kaum
Muslimin dan kaum ahli kitab.
(2.) Menerangkan bahawa seluruh manusia bertanggungjawab selepas
disampaikan dakwah kepadanya.
Sumber ambilan ialah :
Ayat 104 - Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai sekalian
manusia! Sekiranya kamu menaruh syak tentang kebenaran ugamaku,
maka (ketahuilah) aku tidak menyembah makhluk-makhluk yang kamu
menyembahnya yang lain dari Allah, tetapi aku hanya menyembah
Allah yang akan mematikan kamu (untuk menerima balasan); dan aku
diperintahkan supaya menjadi dari golongan yang beriman.
Khulasah Al-Quran